LONDON, 16 Januari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengalu-alukan pengumuman perjanjian gencatan senjata di Gaza.
Jelas Perdana Menteri, Malaysia menyifatkan perjanjian tersebut dan pembebasan tebusan sebagai perkembangan positif.
Malah, beliau berharap perjanjian tersebut akan berterusan bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.
"Kita alu-alukan, pertama yang penting ialah kedamaian, hentikan segera serangan berterusan yang menyebabkan kemusnahan harta benda dan kita mengharapkan ini diteruskan.
"Kita akan lakukan apa sahaja, ia perlu kerana kita sudah ada komitmen secara langsung dengan wakil AS, hubungan kita yang baik dengan Qatar, Mesir dan Hamas," katanya.
Beliau menjelaskan kepada media selepas merasmikan InvestMalaysia di London anjuran Bursa Malaysia.
Datuk Seri Anwar juga menyambut baik cadangan Perdana Menteri Jepun, dan akan menghubungi rakat sejawatannya itu, agar Jawatankuasa Pengerusi Bersama dapat mengadakan pertemuan segera.
Antaranya bagi membincangkan penyaluran bantuan pembinaan semula Gaza.
Tambahnya, usaha kini perlu ditumpukan kepada pelaksanaan yang berkesan dan sepenuhnya mengikut komitmen yang telah diberikan oleh semua pihak yang terlibat.