KUALA LUMPUR, 16 Januari- Konflik perang antara Hamas dan Israel, akhirnya memberi khabar gembira buat masyarakat dunia susulan pengumuman gencatan senjata, bakal berkuat kuasa Ahad ini.
Pengumuman itu, dilihat selari dengan laungan keamanan yang digerakkan negara menerusi kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hingga ke hari ini.
Menurut Profesor Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam, ini adalah peluang untuk Malaysia terlibat dalam perjanjian perdamaian itu dan terus mendesak masyarakat dunia bersama menoktahkan keganasan serta pemulihan keamanan di Gaza.
"Saya fikir ini juga adalah peluang untuk Malaysia terus menyinar di peringkat antarabangsa. Guna platform perdamaian yang telah dimeterai ini atau genjatan senjata ini untuk kita meneruskan suara dan juga menyampaikan hasrat negara.
"Kita juga boleh menawarkan diri untuk menjadi orang tengah dalam perdamaian yang berterusan terutama sekali di antara kedua-dua negara terkelompok ini.
Malah, kita mungkin boleh menggunakan pengalaman kita ketika menjadi fasilitator bagi perdamaian di selatan Filipina dan juga selatan Thailand untuk kita curahkan dan bersama-sama bagi menyelesaikan konflik yang berlaku," kata Profesor Dr. Mohd Mizan kepada pemberita RTM secara eksklusif menerusi temu bual maya, hari ini.
Sementara itu, sokongan teguh Malaysia termasuk usaha menyingkirkan Israel dari PBB, mencerminkan keberanian dalam menghadapi tekanan sekutu Israel.
Penganalisis, Profesor Madya Dr. Azmi Hassan berpendapat, negara kecil seperti Malaysia dan Indonesia melengkapkan usaha kuasa besar seperti Rusia dan China dalam mencapai gencatan senjata di Asia Barat.
"Malaysia mendapat perhatian daripada Ketua Biro Politik Hamas dan ini sepatutnya menjadi satu kebanggaan kerana tekanan yang kita terima terutama kuasa besar sekutu Israel adalah bukan calang-calang.
Tetapi, kita tetap dengan pendirian bahawa keadilan perlu diberikan kepada penduduk Gaza dan keseluruhan rakyat Palestin," kata Dr. Azmi kepada pemberita RTM secara maya, hari ini.