
GENEVA, 23 Mei – Wabak hantavirus yang dikaitkan dengan kapal persiaran MV Hondius kini mencatatkan 12 kes disahkan dengan tiga kematian, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
- Belanda melaporkan satu lagi kes kru yang turun di Tenerife dan kini menjalani pengasingan.
- Tiada kematian baharu dilaporkan sejak 2 Mei, tarikh wabak pertama dimaklumkan kepada WHO.
- Lebih 600 kontak rapat di 30 negara masih dipantau, sejumlah kecil kontak berisiko tinggi sedang dikesan.
- Kapal tiba di Rotterdam untuk proses pembasmian kuman, menamatkan pelayaran yang menarik perhatian pihak berkuasa kesihatan antarabangsa.
Ketua Pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, Belanda melaporkan satu lagi kes membabitkan kru kapal yang turun di Tenerife, Sepanyol sebelum dihantar pulang ke negara asal dan kini menjalani pengasingan.
Beliau berkata, tiada kematian baharu dilaporkan sejak 2 Mei lalu, iaitu tarikh wabak tersebut pertama kali dimaklumkan kepada WHO.
“Negara terlibat perlu terus memantau semua penumpang dan kru dengan teliti sepanjang tempoh kuarantin,” katanya dalam sidang media di Geneva.
Menurut beliau, lebih 600 kontak rapat di 30 negara masih dalam pemantauan, manakala sejumlah kecil kontak berisiko tinggi masih sedang dikesan.
Tedros turut merakamkan penghargaan kepada negara-negara yang bekerjasama dalam usaha tindak balas antarabangsa serta siasatan epidemiologi berkaitan wabak itu.
Kapal persiaran yang dikendalikan Oceanwide Expeditions itu berlepas dari Argentina pada 1 April lalu dengan kira-kira 150 penumpang dan kru dari lebih 20 negara.
Kapal tersebut tiba di pelabuhan Rotterdam, Belanda pada Isnin untuk proses pembasmian kuman, sekali gus menamatkan pelayaran yang mendapat perhatian pihak berkuasa kesihatan antarabangsa susulan penularan hantavirus di atas kapal. -REUTERS