FOMO vs Halal: Cabaran imbangi makanan viral – tuntutan agama

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Tolak gelora FOMO; beri masa untuk semakan rasmi sebelum menyerbu premis tular.
  • Label influencer bukan pengesahan halal; semak sijil JAKIM atau aplikasi Verify Halal dan tanya tentang rantaian bekalan.
  • Belia perlu guna kuasa pengguna untuk tuntut pensijilan halal dan kekal pengguna bijak tanpa mengorbankan prinsip syarak.

Sepinggan mi ramen dengan limpahan keju yang menyelerakan, kopi estetik berlatarbelakangkan hiasan dalaman kafe ala Paris, atau pencuci mulut fusion, pastry berasal dari Eropah diberikan nafas baru pelbagai perisa tempatan yang sedang ‘hujan’ tontonan di aplikasi media sosial.

Bagi generasi muda hari ini, paparan visual sedemikian bukan sekadar perkongsian biasa, malah ia sering mencetuskan fenomena ‘Fear of Missing Out’ (FOMO) atau ketakutan untuk ketinggalan dalam menjejaki trend terkini.

Namun, di sebalik keghairahan memburu status ‘terpaling awal’ mencuba makanan yang sedang tular, komuniti belia Muslim hari ini berdepan dengan satu ujian domestik yang kritikal—sejauh mana kesedaran halal diutamakan berbanding kepuasan kandungan media sosial?

Perangkap ‘Halal Melalui Proksi’

Dalam kebanjiran video ulasan makanan (food review) digital, trend pengarah kandungan atau pempengaruh (influencer) yang sewenang-wenangnya melabelkan sesebuah premis sebagai “mesra Muslim” (Muslim-friendly) semakin membimbangkan.

Ungkapan mudah seperti “Saya dah tanya pekerja, mereka kata bahan-bahan daripada pembekal halal,” sering kali dijadikan lesen besar oleh netizen untuk menyerbu premis berkenaan tanpa usul periksa.

Hakikatnya, golongan pempengaruh bukanlah juruaudit bertauliah. Label “tiada daging atau minyak babi” (no pork, no lard) yang sering ditekankan juga bukan jaminan mutlak status halal.

Aspek kritikal lain seperti rantaian bekalan daging, penggunaan alkohol tersembunyi dalam sos atau bahan perisa, kandungan gelatin haiwan dalam pencuci mulut, serta isu pencemaran silang di dapur sering kali terlepas daripada pandangan mata kasar seorang pembuat kandungan.

Melentur prinsip halal semata-mata kerana terikut-ikut dengan jumlah tontonan (views) di skrin telefon pintar merupakan satu tindakan yang berisiko tinggi terhadap pematuhan syariat.

Mengimbangi Trend dan Tuntutan Syarak

Mengutamakan pemakanan halal tidak bermakna golongan muda perlu meminggirkan diri daripada arus modenisasi atau gaya hidup kontemporari. Kuncinya terletak pada kebijaksanaan mengimbangi gaya hidup digital dengan prinsip kepenggunaan Islam yang bijak.

Antara langkah yang boleh diambil oleh golongan muda termasuklah:

1. Menolak Gelora FOMO

Jangan terburu-buru menyerbu premis yang sedang tular. Beri ruang masa seminggu dua untuk membolehkan komuniti atau badan autoriti membuat semakan, selain memberi peluang kepada premis berkenaan menjelaskan status operasi mereka.

2. Semakan Digital Pintar

Sebelum melangkah ke sesebuah premis, lakukan semakan proaktif melalui platform rasmi seperti aplikasi Verify Halal atau portal rasmi Halal Malaysia (JAKIM).

3. Berani Bertanya

Sekiranya status halal sesebuah ramuan atau premis meragukan, pengguna berhak mengemukakan soalan secara berhemah kepada pihak pengurusan premis mengenai sijil pengesahan bahan mentah mereka.

4. Kuasa Pengguna Belia

Kuasa membeli dalam kalangan anak muda adalah sangat besar. Apabila pemilik perniagaan menyedari komuniti belia Muslim tegas dalam isu pensijilan halal, ia akan mendorong pengusaha premis untuk memohon pensijilan halal rasmi bagi menarik segmen pasaran ini.

Membudayakan Pengguna Bijak

Kesedaran halal dalam kalangan generasi muda tidak seharusnya dilihat sebagai satu sekatan, sebaliknya ia adalah satu bentuk penghormatan diri (self-respect) dan manifestasi nilai pegangan seorang Muslim.

Menjadi seorang ‘foodie’ atau pencinta makanan estetik tidak salah, asalkan status ‘viral’ tidak mengatasi status ‘jaminan halal’.

Sudah tiba masanya belia hari ini beralih daripada menjadi pengikut trend yang pasif kepada pengguna yang cakna, matang, dan berprinsip. Kerana pada akhirnya, kelazatan sebenar sesuatu hidangan itu hanya akan dirasai apabila ia dinikmati dengan ketenangan jiwa yang mutlak.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Farah Mohd Shahwahid
Pensyarah
Jabatan Undang-undang
Fakulti Syariah & Undang-Undang
Universiti Islam Selangor
E-mel: farahms@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.