AS pertimbang serangan ketenteraan baharu terhadap Iran

Foto REUTERS

WASHINGTON, 23 Mei – Amerika Syarikat (AS) dilaporkan sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk melancarkan serangan ketenteraan baharu terhadap Iran susulan rundingan diplomatik antara kedua-dua negara yang didakwa semakin buntu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump membatalkan menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki untuk kekal di White House sepanjang tempoh rundingan kritikal.
  • Rundingan diplomatik masih berjalan; Pakistan bertindak sebagai perantara dan menghantar ketua tenteranya ke Tehran untuk usaha saat akhir perjanjian damai.
  • White House enggan memberi ulasan rasmi; jurucakap Anna Kelly mengingatkan Iran tentang akibat jika rundingan gagal.
  • Sumber berkata Trump semakin hilang sabar, cenderung mengutamakan serangan udara; anggota tentera dan perisikan diarahkan batalkan cuti hujung minggu.

Laporan media tempatan termasuk CBS dan Axios mendedahkan perkara itu beberapa jam selepas Presiden AS Donald Trump mengumumkan pembatalan untuk menghadiri majlis perkahwinan anak lelakinya pada hujung minggu ini atas faktor urusan kerajaan.

Trump menegaskan adalah amat penting untuk beliau terus berada di White House sepanjang tempoh kritikal berkenaan.

Bagaimanapun, kedua-dua agensi berita terbabit melaporkan bahawa keputusan muktamad mengenai pelancaran operasi ketenteraan baharu itu masih belum diputuskan.

Ketika ini, rundingan diplomatik dilaporkan masih berjalan dengan Pakistan bertindak sebagai perantara yang mana negara itu telah menghantar ketua tenteranya ke Tehran dalam usaha saat akhir untuk memeterai perjanjian damai.

Setakat ini, pihak White House enggan memberikan sebarang ulasan rasmi berhubung laporan spekulasi berkenaan.

Namun, jurucakap White House, Anna Kelly ketika dihubungi CBS menyatakan bahawa “Presiden sebelum ini sudah jelas mengenai akibat yang bakal dihadapi oleh Iran sekiranya mereka gagal mencapai persetujuan dalam rundingan.”

Terdahulu, White House mengumumkan perubahan mengejut jadual hujung minggu Trump, menyaksikan beliau membatalkan kunjungan ke resort golf miliknya di New Jersey untuk kekal berada di ibu negara.

Malah, sekembalinya daripada New York pada Jumaat, Trump juga enggan melayan sebarang pertanyaan daripada pengamal media yang mengikuti rombongannya seperti kebiasaan.

Sementara itu, Axios yang memetik dua sumber tanpa nama melaporkan Trump semakin hilang sabar dan kecewa dengan perkembangan proses rundingan bersama Iran sejak beberapa hari lalu.

Pendirian Trump juga dikatakan telah beralih daripada mengutamakan pendekatan diplomasi kepada kecenderungan untuk mengarah pengeboman dilakukan sepanjang minggu ini.

Susulan peningkatan amaran terbaharu itu, sumber dalaman melaporkan sebahagian besar anggota ketenteraan dan aset perisikan AS telah diarah membatalkan perancangan cuti hujung minggu mereka sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan serangan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.