Korban akibat konflik tanah di Colombia meningkat

Foto REUTERS

SILVIA, 23 Mei– Pihak berkuasa Colombia mengerahkan pasukan tentera ke wilayah bergolak Cauca bagi meredakan ketegangan selepas konflik tanah antara dua kumpulan penduduk asal mengorbankan tujuh individu dan mencederakan 110 yang lain, pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertikaian antara etnik Misak dan Nasa mengenai hak milik tanah adat mencetuskan keganasan.
  • Empat mangsa adalah Misak, dua Nasa, satu mayat belum dikenal pasti menurut pihak berkuasa.
  • Kawasan Cauca dibelenggu masalah keselamatan termasuk ladang kokain haram, penculikan dan serangan gerila.

Menurut jurucakap gabenor wilayah, pertempuran berdarah di kawasan luar bandar perbandaran Silvia itu melibatkan etnik Misak dan etnik Nasa yang berkonflik mengenai hak milik tanah adat.

Pihak berkuasa mengesahkan empat daripada mangsa yang terkorban merupakan ahli komuniti Misak, dua daripada etnik Nasa, manakala satu lagi mayat masih gagal dikenal pasti.

Insiden dilaporkan tercetus apabila sekumpulan komuniti Misak bertindak memotong pagar sempadan untuk menuntut kawasan yang dianggap milik mereka, sebelum diserang sekumpulan etnik Nasa yang bersenjatakan parang, senapang patah, kayu dan batu.

Berdasarkan rakaman yang tular di media sosial, pertempuran itu menyaksikan keganasan berdarah dengan beberapa mayat berlumuran darah bergelimpangan di kawasan kejadian.

Kawasan pedalaman Cauca sememangnya kerap dibelenggu isu keselamatan ekoran kewujudan ladang kokain haram serta ancaman penculikan dan serangan oleh kumpulan gerila.

Namun pertikaian sempadan antara komuniti peribumi jarang berakhir dengan pertempuran yang mengorbankan nyawa. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.