EU, Mexico meterai perjanjian kurangkan tarif serta kebergantungan kepada AS

Foto REUTERS

MEXICO CITY, 23 Mei – Kesatuan Eropah (EU) dan Mexico menandatangani perjanjian bagi mengurangkan tarif barangan bersama dalam usaha mengurangkan kebergantungan dagangan terhadap Amerika Syarikat (AS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjanjian dikemas kini menghapuskan sebahagian besar sekatan perdagangan dan pelaburan yang berbaki.
  • Memudahkan perdagangan komponen automotif serta menurunkan tarif makanan, termasuk akses bebas cukai untuk beberapa produk.
  • Mexico mengiktiraf ratusan produk makanan EU; langkah ini buka peluang perdagangan dan kurangkan pergantungan rantaian bekalan Asia.

Langkah memperluas perjanjian yang dimeterai sejak tahun 2000 itu dibuat ketika Mexico sedang berusaha keras mengekalkan Perjanjian Perdagangan Bebas tiga hala bersama AS dan Kanada (USMCA), yang menjadi tunjang kepada ekonomi ketiga-tiga negara berkenaan.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum menekankan kepentingan untuk “membuka lembaran baharu” tatkala Mexico dan EU kini berdepan dengan tekanan peningkatan tarif yang diperkenalkan oleh Presiden AS, Donald Trump.

Perjanjian dikemas kini itu ditandatangani oleh Sheinbaum dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen ketika Sidang Kemuncak EU-Mexico Kelapan.

Tindakan berkenaan sekali gus menghapuskan sebahagian besar sekatan perdagangan dan pelaburan yang berbaki sebelum ini.

“Pada ketika dunia diuji dengan pergolakan yang semakin meningkat dan transformasi yang mendalam, kami memilih untuk memperluas, memperdalam serta mengemas kini hubungan rakan strategik kami,” menurut kenyataan bersama kedua-dua pihak.

Perjanjian baharu itu antara lain memudahkan urusan perdagangan dalam sektor komponen automotif yang terkesan teruk akibat tarif Trump, selain menurunkan tarif untuk lebih banyak produk makanan termasuk akses bebas cukai bagi pasta, coklat, kentang, telur dan produk ayam dan itik tertentu.

Sebagai timbal balas, Mexico bersetuju untuk mengiktiraf ratusan produk makanan dan minuman dari wilayah khusus EU, seperti ham Parma dan keju Roquefort.

Menurut seorang pegawai EU, langkah itu adalah bagi mencapai objektif bersama memandangkan Mexico mahu mengurangkan kebergantungan terhadap jirannya di utara serta rantaian bekalan dari Asia atau China, sementara Eropah turut mengejar matlamat yang sama.

Sementara itu, Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas semasa lawatannya ke Mexico City pada Khamis berkata, perjanjian tersebut akan membuka peluang baharu untuk kedua-dua ekonomi bersaing di peringkat global, selain memanfaatkan momentum sedekad lalu yang menyaksikan lonjakan 75 peratus dalam perdagangan EU-Mexico.

EU ketika ini merupakan rakan dagang ketiga terbesar Mexico, di belakang AS dan China.

Awal minggu ini, EU turut mengambil langkah menamatkan ketegangan perdagangan dengan Trump apabila bersetuju melaksanakan perjanjian yang ditandatangani tahun lepas dengan AS, yang menetapkan tarif ke atas sebahagian besar barangan Eropah pada kadar 15 peratus.

Sebagai perbandingan, purata tarif AS ke atas barangan Mexico adalah suku daripada kadar berkenaan, dengan kebanyakan barangan terselamat daripada cukai di bawah USMCA.

Mengulas mengenai perkara itu, Sheinbaum menegaskan bahawa perjanjian perdagangan Mexico dengan EU dan AS tidak bercanggah antara satu sama lain, malah saling memperkukuh kedudukan ketiga-tiga rantau ekonomi tersebut.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Perniagaan Mexico bagi Perdagangan Luar, Sergio Contreras pula menyifatkan pengurangan tarif itu akan memberi kelebihan besar kepada EU dan menjadikan Mexico sebagai platform penumpuan yang menghubungkan EU dengan Amerika Utara. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.