fb fb fb fb fb

Pemimpin & organisasi antarabangsa sambut baik pengumuman gencatan senjata

Foto Fail/ AFP

PARIS, 16 Januari- Pemimpin dan organisasi antarabangsa menyambut baik pengumuman perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan antara Israel dan Hamas serta, menggesa kedua-dua pihakk untuk mematuhinya, selain mempercepatkan bantuan kepada orang awam di Gaza.

Berikut adalah ringkasan reaksi daripada kenyataan rasmi, ucapan di siaran langsung dan mesej dalam talian:

Turkiye: Kestabilan berkekalan 
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berharap perjanjian ini akan memberi manfaat kepada rantau itu dan seluruh umat manusia, khususnya kepada saudara-saudara Palestin dan membuka jalan ke arah keamanan dan kestabilan yang berkekalan.

Arab Saudi: Hentikan pencerobohan Israel
Kementerian Luar Arab Saudi menekankan keperluan untuk mematuhi perjanjian ini dan menghentikan agresi (pencerobohan) Israel ke atas Gaza, sambil menyeru penarikan sepenuhnya pasukan pendudukan Israel dari Gaza dan semua wilayah Palestin serta Arab yang lain, dan penduduk yang berpindah kembali ke kawasan masing-masing.

Mesir: Seru bantuan segera
Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, menyeru kemasukan bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan ke Gaza. Beliau berkata perjanjian itu, susulan usaha gigih oleh Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat.

Jordan: Bantuan segera
Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi menyeru kuasa-kuasa dunia untuk memastikan penghantaran bantuan yang mencukupi dan berkekalan ke Gaza.

Iraq: Bantuan segera
Kementerian Luar Iraq menekankan keperluan untuk segera membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza dan wilayah Palestin dan memperhebat usaha antarabangsa untuk membina semula kawasan yang musnah dalam serangan Israel ke Gaza.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) : Bantuan segera
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata adalah amat penting agar gencatan senjata ini menghapuskan halangan keselamatan dan politik untuk menyampaikan bantuan ke seluruh Gaza supaya kami dapat menyokong lebih banyak bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan dan menyelamatkan nyawa.

Amerika Syarikat (AS): Sangat gembira
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden berkata beliau sangat gembira kerana tahanan akan dibebaskan. Beliau juga yakin perjanjian itu akan berkekalan. "Saya amat berpuas hati hari ini akhirnya tiba," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen.

Kesatuan Eropah (EU): Laksana sepenuhnya
Ketua EU Ursula von der Leyen berkata kedua-dua pihak mesti melaksanakan sepenuhnya perjanjian ini, sebagai langkah pertama menuju kestabilan yang berkekalan di rantau ini.

Perancis: Penyelesaian politik
Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata perjanjian ini mesti dihormati dan diikuti dengan penyelesaian politik.

Jerman: Tamatkan perang
Canselor Jerman, Olaf Scholz berkata perjanjian itu membuka pintu kepada pengakhiran perang secara kekal dan penambahbaikan terhadap situasi kemanusiaan yang teruk di Gaza dan mesti dilaksanakan sepenuhnya.

Britain: Berita yang sangat dinantikan
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menyifatkan ia sebagai berita yang sudah lama tertangguh yang sangat dinantikan oleh rakyat Israel dan Palestin. Beliau menggesa langkah ke arah masa depan yang lebih baik secara kekal berasaskan penyelesaian dua negara.

Itali: Langkah ke arah keamanan
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni berkata negaranya mengharapkan agar semua tahanan dapat kembali kepada keluarga dan melihat peluang untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza. Sementara, Menteri Luar Antonio Tajani menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah keamanan.

Sepanyol: Kestabilan 
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez berkata gencatan senjata itu adalah penting untuk mencapai kestabilan serantau dan langkah ke arah penyelesaian dua negara dan keamanan yang adil selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Ketua Hak Asasi Manusia PBB: Kelegaan 
Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk berkata perjanjian itu memberikan kelegaan selepas begitu banyak kesakitan dan penderitaan yang tidak tertanggung dan adalah penting agar ia dapat dikekalkan.

Ketua agensi bantuan PBB untuk pelarian Palestin, Philippe Lazzarini, menyeru akses dan bekalan bantuan kemanusiaan yang pantas, tanpa halangan dan berterusan untuk menangani penderitaan yang disebabkan oleh perang ini.

Belanda: Keamanan berkekalan 
Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp berkata perjanjian itu seharusnya menjadi langkah pertama ke arah keamanan yang kukuh dan berkekalan.

Norway: Hormati perjanjian 
Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store menyifatkan perjanjian itu sebagai menggalakkan dan sudah lama tertangguh serta menggesa kedua-dua pihak untuk menghormati semua bahagian dalam perjanjian tersebut.

Sweden: Kelegaan untuk orang awam 
Menteri Luar Sweden, Maria Malmer Stenergard menyambut baik perjanjian berkaitan tebusan. Katanya, adalah penting sekarang agar gencatan senjata ini dapat mengurangkan penderitaan yang dialami penduduk awam di Gaza.

Ireland: Kelulusan Israel 
Perdana Menteri Ireland, Simon Harris menyatakan harapan agar perjanjian itu akan menerima kelulusan rasmi daripada Israel.

Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani mengesahkan perjanjian gencatan senjata pada sidang media di Doha pada Rabu, berkuat kuasa Ahad ini.-AFP

ROSLINA BINTI DIN