KIEV, 16 Januari- Rusia melancarkan peluru berpandu dan dron ke atas kemudahan tenaga Ukraine, semalam.
Serangan ini berlaku sehari selepas Kiev melancarkan serangan udara ke atas kilang tentera dan hab tenaga di Rusia.
Tentera Udara Ukraine berkata Rusia melancarkan 43 peluru berpandu balistik serta 74 dron dalam serangan yang menyasarkan kemudahan itu di barat Ukraine. Bagaimanapun, 30 peluru berpandu dan 47 dron berjaya ditembak jatuh.
Presiden Volodymyr Zelensky mengecam serangan tersebut dan menggesa bantuan keselamatan daripada sekutu-sekutu luar negara.
"Serangan besar-besaran Rusia lagi. Kini dalam musim sejuk dan sasaran Rusia tetap sama, sektor tenaga kita," tulisnya di media sosial.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia mengesahkan bahawa tenteranya telah melancarkan serangan tepat ke atas kemudahan tenaga yang beroperasi untuk kompleks tentera dan industri Ukraine.
Rusia juga mengulangi dakwaan bahawa semua sasaran yang ditetapkan telah diserang.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Denys Shmygal berkata serangan Rusia itu gagal.-AFP