
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Tiada sebarang rekahan dan kerosakan struktur asas dikesan melibatkan bangunan INTI College Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) susulan gegaran gempa bumi Sumatera Barat, Indonesia yang turut dirasai di pantai barat Semenanjung pada tengah hari tadi.
- JBPM Selangor bertindak segera menjalankan pemeriksaan keselamatan selepas menerima panggilan kecemasan.
- Pemeriksaan memberi tumpuan pada struktur asas, dinding dan kemungkinan rekahan atau pergerakan.
- Bangunan di dua lokasi didapati selamat untuk diduduki buat masa ini.
- Gempa berkekuatan 5.7 di Utara Sumatera dikesan pada 12.18; gegaran dilaporkan pada 12.31 dan 12.40.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya bertindak melakukan pemeriksaan keselamatan sejurus menerima panggilan kecemasan di kedua-dua lokasi berkenaan.
“Pihak bomba telah membuat pemeriksaan keselamatan terhadap struktur asas dinding dan bangunan terlibat serta mendapati tiada sebarang rekahan atau pergerakan terhadap struktur asas bangunan.
“Kita juga mendapati bangunan-bangunan di dua lokasi tersebut masih lagi selamat untuk diduduki buat masa ini,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.
Ashrul turut memaklumkan pihaknya menerima laporan gegaran gempa bumi dari bangunan MPKj pada 12.31 tengah hari manakala, INTI College Subang Jaya pada 12.40 tengah hari.
Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.7 dikesan berlaku di Utara Sumatera pada 12.18 tengah hari tadi dengan gegaran dirasai di beberapa kawasan pantai barat Semenanjung.