
JELEBU, 22 Julai – Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) supaya Washington menyemak hubungan bilateral dengan Kuala Lumpur, susulan isu pengusiran warga Israel dari negara ini.
- Kerajaan menegaskan bebas membuat keputusan mengenai dasar dan tindakan negara.
- Keputusan dibuat berdasarkan kedaulatan negara dan kepentingan rakyat, tanpa tekanan pihak luar.
- Lapan Ahli Kongres AS menghantar surat kepada Marco Rubio gesa semak hubungan dan pertimbang gantung pembiayaan IMET.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan, kerajaan bebas membuat keputusan mengenai setiap dasar dan tindakan yang dilaksanakan dalam negara.
Jelasnya, keputusan itu dibuat berdasarkan kedaulatan negara dan kepentingan rakyat tanpa dipengaruhi tekanan pihak luar.
“Kita tidak akan tunduk dengan apa-apa desakan. Kerajaan Malaysia ialah sebuah kerajaan yang berdaulat dan kita mempunyai pendirian sendiri,” katanya ketika ditemui pada program santai bersama penduduk di Kampung Chennah, di sini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut menyatakan, Jemaah Menteri telah dimaklumkan mengenai desakan berkenaan dan kerajaan memutuskan untuk kekal dengan pendirian.
Terdahulu, lapan Ahli Kongres AS itu dilapor menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rakyat Israel yang berada di Malaysia.
Mereka turut menggesa kerajaan AS menyemak hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia serta mempertimbangkan penggantungan pembiayaan di bawah program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET).
Datuk Seri Anwar sebelum ini menegaskan kerajaan akan mengusir rakyat Israel yang didakwa mempunyai dua kewarganegaraan dan menetap di negara ini sekiranya dakwaan itu terbukti benar.