
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Beberapa lokasi dikesan mengalami gegaran bangunan susulan gempa bumi di Sumatera, Indonesia tengah hari tadi.
- JBPM Kuala Lumpur sahkan gegaran di Maju Link B2 Tower, Jalan Lingkaran Tengah 2, Bandar Tasik Selatan.
- Semua penghuni mengosongkan bangunan dan berkumpul di kawasan selamat selepas gegaran kira-kira 15 saat.
- Pemeriksaan menyeluruh mendapati tiada rekahan atau kerosakan struktur; bangunan disahkan selamat diduduki.
- MetMalaysia lapor gempa magnitud 5.7 di Utara Sumatera pada 12.18, gegaran dirasai di beberapa kawasan pantai barat.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerusi kenyataan mengesahkan sebuah bangunan di Maju Link B2 Tower, Jalan Lingkaran Tengah 2, Bandar Tasik Selatan dilapor mengalami gegaran.
“Panggilan kecemasan diterima pada pukul 12.32 tengah hari dan sepasukan pegawai serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi ke lokasi.
“Semua penghuni telah mengosongkan bangunan berkenaan dan berkumpul di kawasan selamat sebagai langkah berjaga-jaga selepas merasai gegaran selama kira-kira 15 saat.
“Hasil pemeriksaan menyeluruh mendapati tiada sebarang rekahan atau kerosakan struktur dikesan dan bangunan disahkan dalam keadaan baik dan selamat diduduki,”menurut kenyataan itu lagi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), terdahulu memaklumkan gempa bumi sederhana bermagnitud 5.7 dikesan berlaku di Utara Sumatera pada 12.18 tengah hari, dengan gegaran dirasai di beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung.