
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan pelantikan 10 Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri di sini. / Foto RTM
ISKANDAR PUTERI, 22 Julai – Kerajaan Johor mengumumkan pelantikan 10 Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri bagi memperkukuh jentera pentadbiran dan mempercepat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
- Pelantikan bertujuan mempercepat penyelesaian isu rakyat serta memastikan pelaksanaan dasar pembangunan berkesan, seimbang dan inklusif selaras Maju Johor 2030 dan JETP.
- Setiap Timbalan Pengerusi perlu bekerja berpasukan dengan pengerusi, jabatan dan agensi untuk memantau projek, menyelaras tindakan dan memastikan manfaat sampai ke akar umbi.
- Senarai pelantikan diumumkan bagi portfolio utama termasuk perumahan, belia, agama, kesihatan, pelaburan, infrastruktur, wanita, pertanian, perpaduan dan pendidikan; mendapat perkenan Pemangku Sultan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelantikan itu bertujuan mempercepat penyelesaian isu rakyat serta memastikan setiap dasar pembangunan dilaksana secara berkesan, seimbang dan inklusif di setiap daerah.
Langkah berkenaan selari kerangka Maju Johor 2030 serta Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) dalam usaha menjadikan Johor negeri maju.
“Bagi memperkukuh gerak kerja kerajaan negeri ke arah menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030, pelbagai inisiatif strategik telah dirangka dan sedang dilaksanakan,” katanya pada satu sidang media khas, di sini.
Beliau berkata setiap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa perlu bekerja secara berpasukan dan menjalin kerjasama erat dengan pengerusi jawatankuasa induk serta jabatan dan agensi berkaitan.
Menurutnya, kerjasama itu penting bagi memantau pelaksanaan projek, menyelaras tindakan di lapangan dan memastikan manfaat setiap program benar-benar sampai ke peringkat akar umbi.
Pada sidang media itu, beliau mengumumkan, Zaidi Japar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Nadhirah Afiqah Abdull Rahim, ADUN Serom, pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, manakala Anuar Abd. Manap, ADUN Pemanis, sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam.
Sementara itu, Mohd Youzaimi Yusof, ADUN Tenggaroh, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, manakala Syed Hussein Syed Abdullah, ADUN Mahkota, sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia.
Selain itu, Datuk Mohamad Najib Samuri, ADUN Parit Yaani, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi, manakala Chan San San, ADUN Johor Jaya, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Turut dilantik ialah Sahrihan Jani, ADUN Gambir, sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar serta Chua Jian Boon, ADUN Layang-Layang, sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya.
V. Rugendran, ADUN Kahang, pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan.
Pelantikan tersebut telah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.