Penggantian paip usang, elak kerugian RM4 bilion menjelang 2030

Kadar NRW yang tinggi menyebabkan negara kerugian lebih RM2 bilion setahun ketika ini

KUALA LUMPUR, 22 April – Kira-kira 39,000 kilometer (km) paip jenis Asbestos Cement (AC) yang digunakan oleh operator perkhidmatan air di Semenanjung dan Labuan dilaporkan usang dan perlu diganti segera bagi mengelakkan kerugian negara terus melonjak sehingga RM4 bilion menjelang 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar NRW tinggi menyebabkan kerugian melebihi RM2 bilion setahun dan dijangka hampir berganda dalam lima tahun jika masalah tidak ditangani.
  • Penggantian paip usang, pelaksanaan DMZ serta penggunaan AI dan pemeteran pintar perlu dipergiat untuk mengesan kebocoran lebih efisien.
  • Penstrukturan tarif mampan perlu bagi memastikan operator air mempunyai keupayaan kewangan untuk pelaburan infrastruktur berterusan.
  • SPAN memperkukuh pemantauan, pengauditan dan jaminan kualiti serta menyokong Pelan Transformasi Air 2040 PETRA untuk kelestarian bekalan.

Pengarah Eksekutif, Bahagian Ekonomi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Izan Aziati Samsuri berkata, ia merangkumi 29 peratus daripada keseluruhan 140,000 km rangkaian paip sedia ada, sekali gus menjadi punca utama peningkatan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang kini mencecah 34.4 peratus.

“Kadar NRW yang tinggi menyebabkan negara menanggung kerugian melebihi RM2 bilion setahun ketika ini, namun jumlah itu dijangka hampir berganda dalam tempoh lima tahun akan datang, sekiranya penggantian paip dan penambahbaikan infrastruktur tidak dilaksanakan secara menyeluruh serta bersepadu.

“Selain menjejaskan kedudukan kewangan operator air, keadaan itu turut meningkatkan risiko gangguan bekalan air kepada pengguna, terutama ketika permintaan semakin meningkat dan sumber air semakin terhad akibat perubahan iklim,” katanya selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media.

Menurut Izan Aziati, langkah proaktif seperti penggantian paip usang, pelaksanaan District Metering Zone (DMZ) serta penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan sistem pemeteran pintar perlu dipergiat bagi mengesan kebocoran dengan lebih efisien.

Penstrukturan tarif lebih mampan dilihat penting bagi memastikan operator air mempunyai keupayaan kewangan mencukupi untuk melaksanakan pelaburan infrastruktur secara berterusan, sekali gus mengelakkan kerugian negara daripada terus meningkat.

“Selain itu, SPAN akan terus memperkukuh pemantauan berterusan terhadap prestasi operator air bagi memastikan pengurusan bekalan air lebih cekap dan mematuhi piawaian ditetapkan.

“Langkah tersebut merangkumi pengauditan industri, pemantauan pelaksanaan projek serta jaminan kualiti air bersih dan bekalan berterusan kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata, SPAN menyokong pelaksanaan Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang memberi tumpuan kepada kelestarian sumber air, pengurangan NRW serta penaiktarafan infrastruktur.

Usaha bersepadu itu penting bagi memastikan perkhidmatan bekalan air kekal mampan untuk jangka panjang.