fb fb fb fb fb

Gaji minimum pekerja asing, caruman KWSP kurangkan beban kewangan kerajaan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Pelaksanaan gaji minimum dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing dijangka dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam jangka panjang.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac, Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor berkata, keputusan dasar ini selaras dengan amalan dasar di negara lain.

"Namun, kami berharap lebih banyak masa diberikan untuk membuat persediaan, contohnya, jika ia mula dilaksanakan pada tahun 2026 dan bukannya dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang," katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Glomac yang ke-40 di sini, hari ini.

Beliau mencadangkan bahawa tarikh pelaksanaan pada 2026 akan memberi ruang kepada industri untuk bersedia.

Selain itu, beliau turut menekankan pentingnya kerajaan menggalakkan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalam jangka masa panjang bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

"Bagi memudahkan penerapan IBS, insentif perlu disediakan, sama ada dalam bentuk kewangan atau faedah lain seperti peningkatan nisbah plot dan proses kelulusan yang lebih cepat,” tambahnya.

Beliau juga memahami keperluan pekerja asing untuk menyumbang kepada KWSP kerana langkah tersebut dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan, tetapi menegaskan perlunya lebih masa atau pemberitahuan awal.

Dalam pada itu, pemegang saham Glomac pada AGM itu meluluskan dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.25 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2024.

Ini menterjemahkan kepada hasil dividen kira-kira 3.1 peratus berdasarkan harga penutup 40 sen pada 30 April 2024.

GRACE AISYAH KEDAYAN