
GEORGE TOWN, 8 Sept – Pemilihan lokasi ikonik Lebuh Armenian di sini sebagai lokasi penganjuran Festival Citra Mutiara 2026 dilihat langkah strategik bagi mempromosi seni warisan kepada pelancong antarabangsa bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
- Festival tiga hari bermula 11 September mensasarkan 10,000 pengunjung.
- Program termasuk pameran, jualan produk pelancongan, seni budaya dan persembahan kebudayaan.
- Menampilkan kepelbagaian seni, budaya dan tradisi. Dibuka 10 pagi hingga 11 malam.
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pulau Pinang Eezmadyna Azalin Nordin berkata, penganjuran festival selama tiga hari bermula 11 September ini disasar menarik kehadiran 10,000 pengunjung.
Jelas beliau, penganjuran di Padang Lebuh Armenian yang terletak di Tapak Warisan Dunia UNESCO itu memberikan kelebihan dari segi kehadiran pengunjung luar negara.
“Di Lebuh Armenian, setiap Sabtu dan Ahad memang dipenuhi pelancong kerana ia tempat warisan. Pelbagai aktiviti diadakan seperti pameran, jualan produk pelancongan, seni budaya termasuk aktiviti persembahan kebudayaan,” katanya.
Beliau ditemui RTM selepas wawancara dalam segmen Konti Ke Komuniti di stesen radio MutiaraFM di sini.
Festival Citra Mutiara 2026 menampilkan kepelbagaian seni, budaya dan tradisi masyarakat Malaysia dibuka bermula 10 pagi hingga 11 malam.