
BATU BERENDAM, 8 September – Seramai 3,150 guru dilantik secara Contract Of Service (COS) sebagai persediaan kemasukan murid Tahun 1 melibatkan dua kohort tahun depan.
- Penempatan graduan Institut Pendidikan Guru pada tahun ini akan dilaksanakan segera.
- Menyediakan calon simpanan untuk mengisi keperluan opsyen kritikal termasuk Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
- Pengambilan guru secara Contract of Service dibuka awal tahun sebagai persediaan hadapi kemasukan dua kohort 2027.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) turut mengambil beberapa langkah termasuk memastikan graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) ditempatkan pada tahun ini serta melantik calon simpanan bagi opsyen kritikal.
“Pertama, kita memastikan graduan IPG pada tahun ini dapat ditempatkan pada tahun ini dan penempatan itu akan dilaksanakan pada bila-bila masa dari sekarang.
“Kedua, kita turut menyediakan calon simpanan bagi mengisi keperluan dalam opsyen kritikal, termasuk Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Pada tahun ini juga, kita telah menyusun penempatan calon lantikan dalam opsyen-opsyen kritikal berkenaan.
“Ketiga, perkara yang paling langsung dan penting sebagai persediaan menghadapi tahun hadapan ialah pengambilan guru secara Contract of Service (COS), yang telah dibuka pada awal tahun ini”, katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan Taman Merdeka, Batu Berendam.
Pada 2027 sistem persekolahan dijangka akan menerima hampir 500,000 kemasukan dua kohort murid, iaitu kohort tujuh tahun dan kohort enam tahun.