JOHOR BAHRU, 27 Mei- Penggunaan kod QR di kaunter pelepasan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor Bahru akan berkuat kuasa pada 1 Jun ini, dengan fasa pertama percubaan dilakukan selama tiga bulan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelaksanaan tersebut akan melibatkan pengguna bas di BSI dan M-Bike di KSAB sebagai permulaan dan dijangkakan penjimatan masa sehingga 50 peratus terutama kepada pengguna bas menuju ke Singapura.
"Dengan penggunaa kod qr ini maknanya semua rakyat Malaysia yang ingin merentasi Singapura melalui Johor, pengguna perlu muat turun menerusi aplikasi atau melalui aplikasi mysejahtera.
"Sekarang ini ada kaedah maknanya dia muat turun dahulu boleh menggunakan telefon sahaja. Apabila pengguna ingin lalu nanti, ia akan menjadi mudah kerana sudah mendaftar menggunakan mydigital id. Maka dia boleh keluarkan dengan guna telefon pintar sahaja untuk masuk," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor yang pertama tahun ini di BSI.
Bagaimanapun penggunaan kaedah sedia ada masih diteruskan terutama kepada pengembara dari Singapura.
Fasa kedua nanti akan membabitkan kenderaan persendirian dan dibuka kepada warga Singapura, fasa seterusnya akan dibuka kepada warga negara lain.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Berdasarkan statistik pada 2023, seramai 116 juta pengembara direkod melalui kompleks CIQ di BSI dan KSAB manakala sejak Januari tahun ini sehingga 15 Mei, seramai 53.8 juta pengembara direkodkan.
Purata pengembara dalam masa sehari adalah kira-kira 398,000.