
KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat ke majlis anugerah Women in Technology Awards 2026 Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) 2026 di sini pada Sabtu.
- Profesor Datin Paduka Setia Datuk Dr Aini Ideris mengetuai penerima; memenangi kategori Senior Women in Technology dan wang tunai RM30,000.
- Profesor Madya Dr Serene Lock Sow Mun memenangi kategori Junior Women in Technology dan wang tunai RM15,000.
- Anugerah khas: Profesor Dr Suraya Abdul Rashid (Rising Star) dan Dr Haniza Yon (Industry Changemaker) masing-masing menerima RM10,000.
- Tujuan anugerah meraikan dan menyerlahkan sumbangan wanita serta memberi inspirasi kepada generasi akan datang dalam sains, teknologi dan inovasi.
Majlis penyampaian anugerah dan jamuan makan malam gala itu diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-80 keputeraan Tuanku Tengku Fauziah.
Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis yang juga Penaung Diraja YTF Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Pada majlis itu, ahli akademik emeritus Profesor Datin Paduka Setia Datuk Dr Aini Ideris mengetuai senarai penerima apabila menjadi antara enam wanita yang menerima pengiktirafan atas sumbangan cemerlang dalam bidang teknologi, penyelidikan, inovasi dan kepimpinan.
Dr Aini yang juga bekas Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi hadiah utama bagi kategori Senior Women in Technology, sekali gus membawa pulang wang tunai RM30,000.
Sementara itu, Profesor Madya Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) Dr Serene Lock Sow Mun memenangi hadiah utama bagi kategori Junior Women in Technology, dan menerima hadiah wang tunai RM15,000.
Untuk kategori pengiktirafan khas, pensyarah kanan UPM Profesor Dr Suraya Abdul Rashid menerima anugerah Special Award-Rising Star, manakala pengasas Global Psytech Dr Haniza Yon menerima anugerah Special Award-Industry Changemaker, menyaksikan masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000.
Dalam kategori junior, pensyarah kanan Universiti Malaya (UM) Dr Marlinda Ab Rahman menerima anugerah Special Award-Rising Star, manakala Profesor Madya Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Afzan Ahmad Zaini menerima anugerah Special Award-Industry Changemaker, dan masing-masing menerima wang tunai RM5,000.
Anugerah itu bertujuan meraikan sumbangan wanita, menonjolkan sumbangan wanita dan memberikan inspirasi kepada generasi wanita akan datang untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.
Turut hadir ialah anggota Lembaga Pemegang Amanah YTF, tetamu kehormat serta wakil industri, ahli akademik dan ekosistem teknologi. -BERNAMA