Empat misi perkhidmatan awam, fokus pelaksanaan pantas-KSN

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar hadir pada Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara 2026 di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri hari ini. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 15 Januari – Empat misi utama perkhidmatan awam 2026 digariskan bagi meningkatkan kecekapan pelaksanaan, memudahkan urusan rakyat, serta memperkukuh budaya kerja dan komunikasi kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Percepatan perancangan dan pelaksanaan termasuk JTPK serta pengembangan DEF untuk mempercepatkan keputusan.
  • Memudahkan urusan rakyat melalui dasar No Wrong Door dan pengoptimuman fasiliti agensi untuk program komuniti.
  • Reformasi budaya kerja: mesyuarat lebih fokus, perkhidmatan mesra pelanggan, penggunaan AI, edaran elektronik dan amalan hijau.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, misi pertama menumpukan kepada percepatan perancangan dan pelaksanaan, dengan semua perancangan strategik kementerian dan jabatan perlu diselesaikan sebelum 15 Februari 2026.

Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK) bagi penggal pertama 2026 wajib diadakan selewat-lewatnya 31 Januari 2026, selain penekanan terhadap pelaksanaan projek kecil, penambahbaikan kos pelaksanaan, peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah serta sokongan kepada perolehan produk tempatan.

Beliau turut memaklumkan, Delegation of Empowerment Framework (DEF) akan diperluaskan kepada Ketua Perkhidmatan dan Ketua Jabatan bermula suku kedua 2026 bagi mempercepatkan proses membuat keputusan.

Mengulas hala tuju perkhidmatan awam sehingga 2027, beliau berkata tumpuan diberikan kepada pelaksanaan yang pantas, cekap dan berskala besar, namun memerlukan perubahan menyeluruh dalam cara kerja penjawat awam.

“Tahun ini sehingga 2027 ialah tahun pelaksanaan-pelaksanaan pantas, cekap dan berskala besar. Namun, untuk melaksanakannya, kita perlu berubah. Reformasi yang diperkenalkan bukan sekadar melibatkan kerenah birokrasi, tetapi menyentuh jati diri, sikap dan roh perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara 2026 di Putrajaya.

Tan Sri Shamsul Azri juga menegaskan, penjawat awam perlu mempunyai semangat dan rasa tanggungjawab dalam melaksanakan tugas, termasuk bekerja dengan lebih pantas dan membantu rakyat secara berkesan.

Mengulas misi kedua, beliau berkata penjawat awam perlu menghayati prinsip memudahkan urusan rakyat selari dengan pendekatan “No Wrong Door Policy”.

Tambahnya, penggunaan kemudahan serta fasiliti milik agensi kerajaan di kawasan bandar dan luar bandar perlu dioptimumkan bagi pelaksanaan program yang melibatkan rakyat, termasuk melalui Pusat Komuniti Desa (PKD), Pusat Ekonomi Digital (NADI), Pusat Internet Komuniti (KKom), pusat latihan dan sekolah.

Bagi misi ketiga, penekanan diberikan kepada pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam menerusi Reformasi Budaya Kerja (RBK), termasuk mesyuarat yang lebih singkat dan berfokus, penyampaian perkhidmatan mesra pelanggan, penjimatan tenaga elektrik, penggunaan kecerdasan buatan, edaran dokumen secara elektronik serta amalan hijau dalam urusan kerja.

Sementara itu, misi keempat memfokuskan kepada pengukuhan komunikasi kerajaan secara menyeluruh, dengan Unit Komunikasi Korporat diwajibkan terlibat dalam pembangunan dasar baharu.

Beliau turut menegaskan keperluan memastikan ketepatan fakta, kesesuaian bahasa serta kewajaran masa dalam setiap pemakluman awam, selain penggunaan bahasa yang mudah difahami rakyat bagi membina kepercayaan terhadap penyampaian kerajaan.

Majlis amanat itu menjadi panduan hala tuju perkhidmatan awam bagi memastikan penyampaian kerajaan yang lebih cekap, telus dan berorientasikan rakyat sepanjang tahun 2026.