KSU 14 kementerian gagal capai sasaran akan dipanggil

Menurut Tan Sri Shamsul , perkara berkenaan akan memberi kesan kepada penilaian prestasi DEEP

PUTRAJAYA, 15 Januari – 14 kementerian dikenal pasti gagal mencapai sasaran prestasi perbelanjaan dalam pelaksanaan projek pembangunan fizikal yang diperuntukkan pada tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • 14 kementerian gagal capai sasaran perbelanjaan projek pembangunan, merekodkan prestasi 87.91 peratus.
  • KSU kementerian terlibat akan dipanggil dan kegagalan itu akan memberi kesan pada penilaian DEEP.
  • Peruntukan tidak dimanfaatkan sepenuhnya, menyebabkan projek bergerak perlahan dan membazirkan dana yang boleh digunakan lain.

Prestasi perbelanjaan pembangunan projek-projek kementerian terlibat direkodkan pada 87.91 peratus, iaitu di bawah purata nasional.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perbelanjaan membabitkan projek asas kerajaan bersifat rakyat antaranya pembinaan serta kerja naik taraf infrastruktur jalan raya, sekolah, klinik dan hospital.

Justeru tegas beliau, Ketua Setiausaha (KSU) kementerian terlibat akan dipanggil memberi penjelasan behubung kegagalan kementerian masing-masing mencapai sasaran pelaksanaan pembangunan projek fizikal tahun lalu.

“14 KSU kementerian ini akan dipanggil dan perkara ini akan memberi kesan kepada Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP).”

“Projek-projek ini dilaksanakan tetapi bergerak perlahan, sebab itu prestasinya hanya mencapai 87 peratus. Peruntukan telah disediakan tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya, sekali gus menyebabkan kerugian kerana dana tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk keperluan lain.”

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara 2026 di Putrajaya.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau memaklumkan sebanyak 9,578 projek pembangunan telah dilaksanakan dengan peruntukan RM83.06 bilion, melibatkan prestasi perbelanjaan berjumlah RM81.67 bilion setakat 22 Disember lalu.

Menurutnya, pencapaian itu merekodkan purata nasional prestasi perbelanjaan projek pembangunan sebanyak 98.33 peratus.