ADB lancar inisiatif bina rantaian bekalan mineral kritikal Asia

Foto FB Asian Development Bank (ADB)

SAMARKAND, 3 Mei – Bank Pembangunan Asia (ADB) melancarkan inisiatif pembiayaan baharu bagi memperkukuh pembangunan rantaian bekalan mineral kritikal di Asia dan Pasifik, dalam usaha mempercepat peralihan kepada tenaga bersih dan industri teknologi tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif menyokong pembangunan nilai tinggi, agar negara membangun terlibat dalam pemprosesan dan pembuatan, bukan hanya pembekal bahan mentah.
  • Komponen utama: geran dan pembiayaan katalitik untuk projek awal, kajian kebolehlaksanaan, penilaian alam sekitar serta pembiayaan awam dan swasta.
  • Inisiatif disokong projek seperti bateri India, pemetaan Mongolia, strategi Kazakhstan dan Filipina; kesemuanya tertakluk kepada piawaian alam sekitar dan sosial ketat.

Presiden ADB, Masato Kanda berkata, inisiatif itu penting bagi memastikan negara-negara membangun di rantau berkenaan bukan sahaja menjadi pembekal bahan mentah,sebaliknya turut terlibat dalam rantaian nilai lebih tinggi seperti pemprosesan dan pembuatan.

“Mineral kritikal akan membentuk era perindustrian seterusnya, dan Asia serta Pasifik perlu merebut peluang ini untuk menjana pekerjaan, teknologi dan nilai ekonomi di peringkat domestik,” katanya sempena Mesyuarat Tahunan ADB ke-59.

Menurut ADB, kemudahan pembiayaan baharu itu merangkumi dua komponen utama iaitu geran dan pembiayaan katalitik bagi menyokong pembangunan awal projek, kajian kebolehlaksanaan, penilaian alam sekitar serta pembiayaan sektor awam dan swasta.

Kerajaan Jepun menyumbang AS$20 juta kepada komponen geran, manakala United Kingdom menyumbang AS$1.6 juta.

Bagi komponen pembiayaan katalitik pula, Korea Eximbank serta Korea Trade Insurance Corporation (K-SURE) masing-masing menandatangani memorandum persefahaman bernilai AS$500 juta sebagai rakan awal inisiatif berkenaan.

ADB memaklumkan, inisiatif itu turut disokong beberapa projek sedia ada termasuk pembangunan industri bateri di India, pemetaan geologi di Mongolia serta strategi mineral kritikal di Kazakhstan dan Filipina.

“Semua projek di bawah kemudahan ini akan tertakluk kepada piawaian alam sekitar dan sosial yang ketat bagi memastikan pembangunan yang bertanggungjawab dan mampan,” menurut ADB.