PKBM usul nama Velodrom Nasional ditukar kepada Azizulhasni

Jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang meraikan kejayaannya selepas menjuarai dalam acara Akhir Keirin Lelaki pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI di Velodrom Nasional April lalu/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meluluskan usul untuk menamakan semula Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan sebagai Velodrom Azizulhasni, bagi menghargai sumbangan besar Datuk Azizulhasni Awang kepada sukan berbasikal negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • PKBM sebulat suara meluluskan usul menamakan semula Velodrom Nasional dan akan mengemukakannya kepada KBS untuk pertimbangan.
  • Penukaran nama bukan keputusan persekutuan sahaja, mungkin mengambil masa satu hingga dua tahun, jika lulus Velodrom Dungun akan ditukar nama.
  • PKBM menuntut pemaju tanah Velodrom Cheras menunaikan janji membina velodrom baharu mengikut perjanjian asal.

Presidennya, Amarjit Singh Gill berkata usul itu dipersetujui sebulat suara oleh ahli gabungan PKBM pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) hari ini dan akan dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) untuk pertimbangan, memandangkan velodrom berkenaan adalah milik kerajaan.

“Hari ini, kami sebulat suara bersetuju untuk membawa hasrat pertukaran nama Velodrom Nasional ini kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN). Sumbangan dan pencapaian Azizulhasni wajar dicerminkan melalui velodrom tersebut.

“Bagaimanapun, penukaran nama bukanlah keputusan yang boleh dibuat oleh persekutuan sahaja dan mungkin mengambil masa antara satu hingga dua tahun,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Amarjit berkata, sekiranya pertukaran nama itu diluluskan, Velodrom Azizulhasni di Dungun, Terengganu akan ditukar nama bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Velodrom Nasional yang menelan kos pembinaan RM80 juta itu telah dirasmikan oleh lima jaguh berbasikal negara, termasuk Azizulhasni, pada 2017.

Sementara itu pada AGM tersebut, Amarjit berkata pihaknya kini menuntut janji daripada pihak pembeli tanah Velodrom Cheras untuk membina velodrom baharu seperti yang termaktub dalam perjanjian asal.

Beliau bagaimanapun memaklumkan situasi itu kini menjadi lebih rumit apabila difahamkan pembeli asal tanah berkenaan telah menjualnya kepada pihak lain.

“Saya berharap pemaju atau mana-mana pihak yang membeli hartanah tersebut dapat menunaikan janji mereka. Jika kita boleh mendapat velodrom secara “percuma” di ibu negara, ia pasti memudahkan ahli gabungan kami di Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pemilihan jawatankuasa PKBM bagi penggal 2026-2030 yang berlangsung hari ini menyaksikan Norazman Abu Samah dipilih sebagai Timbalan Presiden selepas memperoleh 44 undi, menewaskan pencabarnya Mohd Saiful Abdul Jalil yang meraih 21 undi.

Bagi jawatan Naib Presiden, ia dimenangi Muhammad Firdaus Dawod, M Rezal Abu Bakar, Firdaus Arshad, Mohd Zairi Badderul dan Irawan Sudarsono.

“Bagi jawatan lain, iaitu setiausaha, penolong setiausaha, bendahari dan penolong bendahari, saya akan berbincang lanjut mengenai perkara ini.

“Saya tidak mahu membuat keputusan secara terburu-buru dan akan berunding dengan rakan-rakan. Saya mahu pelantikan dibuat berdasarkan keupayaan untuk bekerja, bukan atas pertimbangan politik,” katanya.