fb fb fb fb fb

Edaran Beras Putih Tempatan cecah 2.6 juta kampit di Semenanjung

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (dua, kiri) melihat beras yang dijual di tapak jualan ketika hadir pada Program Sesi Libat Urus bersama Pemimpin Peladang Negeri Perak di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Tapah / Foto Bernama

TAPAH, 20 Mac – Lebih 2.6 juta kampit Beras Putih Tempatan (BPT) 10 kilogram telah diedarkan ke seluruh Semenanjung sejak mula dipasarkan pada 1 Mac lalu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata edaran itu melibatkan 21,190 premis runcitan, termasuk pasar raya dan kedai runcit.

"Secara keseluruhan, hampir semua pasar raya dan kedai runcit di kawasan bandar sudah menerima bekalan BPT. Namun, masih terdapat beberapa kawasan pedalaman yang belum mendapat bekalan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Libat Urus Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan Pemimpin Peladang Negeri Perak di PPK Tapah, di sini, hari ini.

Beliau berharap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) memainkan peranan dalam mempercepatkan penghantaran bekalan ke kawasan yang masih kekurangan.

"Pihak jentera kami, termasuk para pengedar, akan berusaha menyampaikan beras ini kepada masyarakat, terutama di kawasan pedalaman, agar mereka dapat membeli pada harga lebih murah," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Badrul Hisham Mohd, sebelum ini memaklumkan bahawa 24 juta kampit BPT bersubsidi berharga RM26 akan dipasarkan kepada 400,000 keluarga miskin di Semenanjung mulai 1 Mac.

Projek rintis selama enam bulan itu menyasarkan golongan memerlukan, termasuk 77,000 ketua isi rumah miskin tegar.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN