
KUALA LUMPUR, 25 September – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal membangunkan fasiliti tandas awam yang dilengkapi ruang mandi moden di dua lokasi strategik ibu negara, iaitu di Bukit Bintang dan Padang Merbok.
- Pembangunan fasiliti dijangka dimulakan tahun hadapan, menurut kenyataan menteri.
- Kemudahan mandi di tandas awam penting untuk wanita bekerja yang bersukan, membolehkan pembersihan sebelum kerja dan menggalakkan gaya hidup sihat.
- Pertandingan DBKL dan PAM hasilkan reka bentuk berpotensi jadi rujukan masa depan, jimat kos dan galakkan kolaborasi berterusan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pembangunan fasiliti berkenaan dijangka dimulakan tahun hadapan.
Inisiatif itu penting bagi menyediakan kemudahan lebih selesa kepada warga kota, khususnya golongan wanita yang aktif beriadah.
“Tandas awam yang dilengkapi ruang mandi amat penting, khususnya bagi golongan wanita yang gemar bersukan. Wanita yang bekerja dan ingin bersukan sebelum ke tempat kerja memerlukan kemudahan untuk membersihkan diri terlebih dahulu.
“Dengan adanya fasiliti yang lebih selesa, ia dapat menggalakkan golongan wanita beriadah sebelum bekerja, sekali gus mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.
“Apabila sesuatu kawasan lapang telah diwartakan dan mempunyai program atau aktiviti, kita perlu memastikan kemudahan asas seperti tempat mandi turut disediakan secara serentak. Jika kemudahan asas tidak mencukupi, kawasan tersebut mungkin tidak digunakan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Pertandingan Reka Bentuk Tandas dan Ruang Mandi Awam di ibu negara hari ini.
Pertandingan anjuran bersama DBKL dan Institut Arkitek Malaysia (PAM) itu dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kategori profesional bagi Tapak 1 di Bukit Bintang dan kategori pelajar bagi Tapak 2 di Padang Merbok.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, reka bentuk pemenang turut berpotensi dijadikan sumber rujukan bagi pembangunan kemudahan awam pada masa hadapan.
“Kita harap kolaborasi ini akan diteruskan untuk tahun-tahun hadapan. Ada banyak projek-projek yang akan dilaksanakan DBKL dan kita akan menggunakan pendekatan yang sama melalui pertandingan.
“Melalui kaedah ini, kita dapat menjimatkan kos, selain memperoleh pelbagai idea untuk dipertimbangkan sebelum memalksanakan sesuatu projek,” katanya.