SUNGAI PETANI, 25 Disember- Dua unit bangunan kedai di Jalan Kuala Ketil, Pekan Lama Sungai Petani, Kedah antara enam premis yang terjejas dalam kebakaran awal pagi tadi, terbakar semula.
Kejadian itu menimbulkan suasana cemas penduduk.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani Ismail Mohd Zain berkata kebakaran semula itu berjaya dikawal dan melibatkan 50 peratus kebakaran struktur premis.
Katanya menerusi kenyataan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berlaku kebakaran semula itu melibatkan dua unit deretan bangunan yang sama kira-kira pukul 1.23 petang.
Sebanyak dua jentera, satu jentera tangki air dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani dikerahkan semula ke lokasi kejadian.
Operasi pemadaman melibatkan dua aliran dan tiga pancutan dari jentera-jentera bomba dan Pasukan Bomba Sukarela Bakar Arang dan Sungai petani.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.