fb fb fb fb fb

Didik golongan muda di peringkat awal dalam mengimarahkan masjid

ADUN Palong, Mustapha Nagoor (tengah) pada Program Berkhatan Beramai-ramai di Masjid Felda Palong 12, di sini.

JEMPOL, 25 Disember- Institusi masjid perlu diimarahkan dengan pelbagai program yang bermanfaat khususnya untuk golongan muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Mustapha Nagoor berkata Penganjuran program berbentuk ibadah bagi kanak-kanak, antara yang perlu diberi perhatian dan dilihat mampu mendidik golongan tersebut di peringkat awal.

Justeru beliau menyambut baik penganjuran Program Berkhatan Beramai-ramai, Cabaran Solat Subuh 44 Hari dan Sukaneka yang diadakan di Masjid Felda Palong 12.

'Jadi ini sebagai satu galakan supaya anak- anak ini cintakan masjid dalam apa keadaan sekali pun mereka hadir untuk berjemaah di masjid. Jadi harapan kami ialah supaya anak- anak ini berterusan apabila mereka boleh buat 44 hari tanpa henti harapan kita ialah selepas ni mereka akan terus ke masjid dan jadikan itu sebahagian rutin di kampung ini," katanya.

Mustapha ditemui pemberita pada Program Berkhatan Beramai-ramai serta Penyampaian Basikal Kepada Peserta Cabaran Solat Subuh 44 Hari dan Sukaneka, di Masjid Felda Palong 12, di sini.

Sementara itu, Imam Muda Masjid Felda Palong 12, Azmin Mohamad Badari berkata penglibatan anak-anak peneroka menerusi program yang dianjurkan sangat menggalakkan dan mereka sangat gembira dengan sumbangan yang diterima.

"Bila ada program sebegini anak -anak rasa seronok sebab mereka masing-masing dapat berkawan, jadi perasaan takut itu hilang sikit demi sikit. Alhamdulilah antara tujuan program solat Subuh kita, pertama untuk mendidik masyarakat golongan kanak kanak dalam mencintai masjid," ujarnya.

Dalam program tersebut, seramai 16 orang peserta telah berjaya dalam cabaran Solat Subuh 44 Hari dan seramai 37 anak-anak peneroka telah selamat berkhatan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI