Desakan Ahli Kongres AS tidak ubah dasar Malaysia terhadap Israel

Foto fail BERNAMA

PASIR GUDANG, 25 Julai – Malaysia kekal berpegang kepada dasar tidak mengiktiraf Israel dan tidak akan mengubah pendirian itu meskipun berdepan desakan beberapa Ahli Kongres Amerika Syarikat supaya Washington mengkaji semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dasar tidak mengiktiraf Israel adalah lama wujud dan bukan dasar baharu.
  • Tindakan mengusir warga Israel diambil sebagai pelaksanaan dasar sedia ada.
  • Kerjasama pertahanan dengan Amerika Syarikat masih berjalan, termasuk latihan dan pendidikan pegawai ATM.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, pendirian Malaysia terhadap Israel bukan dasar baharu, sebaliknya telah lama diamalkan sebagai dasar rasmi negara.

Beliau berkata, tindakan terhadap warga Israel yang didakwa mempunyai kaitan dengan aktiviti di Network School di Forest City hanyalah pelaksanaan dasar sedia ada.

“Dasar itu telah lama wujud dan tindakan mengusir mana-mana warga Israel, sekiranya dikenal pasti berada di negara ini, merupakan pelaksanaan kepada dasar Malaysia yang sememangnya tidak mengiktiraf Israel. Sekiranya Ahli Kongres Amerika Syarikat mahu mengambil tindakan, itu adalah urusan antara mereka dengan kerajaan mereka.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Johor.

Datuk Seri Mohamed Khaled turut menjelaskan, kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Amerika Syarikat masih berjalan seperti biasa, termasuk penyertaan pegawai Angkatan Tentera Malaysia dalam pelbagai program latihan dan pendidikan di negara itu.

Terdahulu, lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat mengemukakan gesaan itu susulan isu Network School di Forest City yang didakwa melibatkan kemasukan warga Israel menggunakan pasport negara kedua.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.