IYRC ASEAN: Lebih 1,000 belia sertai pertandingan sains dan robotik

Lebih 1,000 peserta dari 10 negara menyertai IYRC ASEAN 2026 di Serdang/Foto IYRC ASEAN

SERDANG, 25 Julai – Minat terhadap sains dan robotik terus dipupuk sejak usia muda apabila lebih 1,000 peserta dari 10 negara berhimpun pada Pertandingan Robot Belia Antarabangsa ASEAN (IYRC ASEAN) 2026, sekali gus menjadi pentas mencungkil bakat inovator generasi masa depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertandingan memupuk kemahiran robotik, AI dan pengekodan, peserta menunjukkan peningkatan ketara walaupun bermula tanpa pengetahuan asas.
  • Penganjur bercadang memperluaskan kejohanan ke peringkat Asia Pasifik; tahun ini turut menerima penyertaan dari India dan China.
  • Peserta usia dari empat hingga 18 tahun diuji mereka bentuk sistem robotik autonomi berdasarkan inspirasi dinosaur, menyesuaikan diri dalam persekitaran kompleks.

Bagi pasangan adik-beradik dari Kuantan, Pahang, Cassandra Teo, 16, dan Lucas Teo, 14, pertandingan itu menjadi platform untuk mengembangkan kreativiti serta menguji kebolehan mereka.

Ia termasuk menghasilkan inovasi dalam bidang robotik, kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI) dan pengaturcaraan.

Menurut Cassandra, dia terdorong menyertai pertandingan itu selepas melihat pengalaman adiknya yang lebih awal berkecimpung dalam bidang robotik.

“Saya ambil pengalaman daripada dia dan gunakan sebagai perkara yang baik untuk diteruskan dalam projek-projek baharu, termasuk inovasi dan pengekodan yang saya hasilkan,” katanya.

Cassandra Teo, (kiri) dan Lucas Teo (kanan)

Sementara itu, Lucas yang bercita-cita menjadi juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata, penyertaan kali ini merupakan yang ketiga selepas pertama kali menyertai pertandingan itu ketika berusia tujuh tahun.

Katanya, pengalaman menyertai pertandingan sebelum ini memberi banyak pendedahan dan mendorongnya kembali bersaing dalam kategori reka bentuk kreatif.

“Kali pertama saya sertai pada 2019 ketika umur tujuh tahun. Selepas itu saya tidak dapat menyertai kerana pandemik COVID-19. Saya kembali bertanding pada 2024 dan walaupun keputusan tidak begitu baik, saya memperoleh banyak pengalaman. Tahun ini saya sertai kategori Creative Design untuk cabar diri lagi,” katanya.

Turut berkongsi semangat sama ialah murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Bandar T6, Kluang, Muhammad Aqil Zayyan Mohammad Shukri, yang menyertai pertandingan itu buat kali pertama kerana minat mendalam terhadap sains.

“Mula-mula cikgu buat pemilihan. Saya memang minat, jadi saya masuk dan terpilih untuk menyertai pertandingan ini,” katanya.

Muhammad Aqil Zayyan Mohammad Shukri dari Sekolah Kebangsaan Bandar T6, Kluang (kanan) dan guru pengiring Norhaida Othman

Guru pengiring, Norhaida Othman, berkata perkembangan peserta amat membanggakan kerana kebanyakan mereka bermula tanpa sebarang pengetahuan asas mengenai robotik dan pengekodan.

“Mula-mula mereka memang tidak tahu apa-apa tentang robot. Tidak tahu coding, tidak tahu apa itu board. Sekarang mereka sudah banyak menunjukkan peningkatan, mampu mengurus dan mengawal robot dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Bersama, Olivia Ooi, berkata edisi kali ini lebih istimewa apabila turut disertai peserta dari India dan China walaupun pertandingan berteraskan ASEAN.

Katanya, pihak penganjur turut merancang memperluaskan kejohanan itu kepada peringkat Asia Pasifik pada masa hadapan.

“Tahun ini kami menggunakan nama ASEAN. Harapnya tahun depan kami dapat memperluaskannya kepada IYRC ASEAN-PAC supaya lebih banyak negara dapat mengambil bahagian. Tahun ini juga istimewa kerana walaupun bertemakan ASEAN, kami turut menerima penyertaan dari India dan China,” katanya.

Pertandingan yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam itu menghimpunkan peserta berusia antara empat hingga 18 tahun dari Malaysia, Thailand, Laos, Vietnam, Singapura, Indonesia, Myanmar, India dan China.

Peserta dibahagikan kepada kategori Liga Asas, Sekolah Rendah Bawah, Sekolah Rendah Atas, Sekolah Menengah dan Terbuka.

Bertemakan inspirasi daripada cara dinosaur menyesuaikan diri, bergerak dan bertindak balas terhadap persekitaran, peserta dicabar mereka bentuk, membina serta mengatur cara sistem robotik dan kecerdasan buatan yang mampu mengesan secara autonomi, membuat keputusan serta menyesuaikan diri dalam persekitaran yang kompleks.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.