RM300,000 diperuntuk bagi naik taraf SMK Seri Mulia

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Sebanyak RM300,000 diperuntuk kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mulia bagi menaik taraf kemudahan sekolah itu dengan keutamaan diberikan kepada aspek keselamatan dan kebajikan pelajar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerja penambahbaikan termasuk pemasangan jeriji keselamatan, talian internet, naik taraf stor PJK dan pembelian peralatan sukan.
  • SMK Seri Mulia terpinggir selama 23 tahun kini diberi peluang menaik taraf demi keselesaan warga pendidik dan pelajar.
  • Wan Azizah memuji komitmen warga pendidik dan mengucapkan tahniah kepada penerima anugerah kecemerlangan serta kejayaan SPM 2025.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata peruntukan berkenaan dimanfaatkan untuk pelbagai kerja penambahbaikan, termasuk pemasangan jeriji keselamatan, penyediaan talian internet, menaik taraf stor Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) serta pembelian peralatan sukan.

Beliau yang juga isteri Perdana Menteri berkata penambahbaikan itu turut melibatkan kemudahan lain bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif.

“Kebanyakan mereka terdiri daripada anak-anak keluarga B40. Kita memberikan peluang kepada mereka dan hasilnya mereka berjaya menunjukkan kecemerlangan yang membanggakan.

Semua permohonan bagi kawasan Bandar Tun Razak telah diluluskan dan untuk kerja penambahbaikan sekolah ini, kita memperuntukkan berjumlah RM300,000.

Sekolah ini telah terpinggir selama 23 tahun. Justeru, peluang diberikan untuk menaik taraf kemudahan sekolah demi keselesaan warga pendidik dan pelajar, katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan SMK Seri Mulia, di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas komitmen serta dedikasi dalam mendidik anak bangsa.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang menerima anugerah kecemerlangan serta mencatat keputusan membanggakan dalam peperiksaan SPM 2025.

Beliau berharap kejayaan yang diraikan menjadi pemangkin kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, sahsiah dan kepimpinan, selaras aspirasi melahirkan modal insan berkualiti bagi pembangunan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.