
KUALA PILAH, 25 Julai – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan perlu dilaksanakan secara berhemah dengan memberi tumpuan kepada tawaran dan usaha untuk rakyat, bukannya menyerang atau merendahkan mana-mana pemimpin.
- Calon dan wakil rakyat mesti menjaga etika dan adab sepanjang berkempen.
- Pemimpin perlu berpegang kepada tataetika di peringkat negeri dan nasional serta menghormati semangat Kerajaan Perpaduan.
- Jangan merendahkan individu atau pemimpin yang pernah atau sedang memimpin.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua calon dan wakil rakyat yang bertanding perlu menjaga etika serta adab sepanjang tempoh berkempen.
Menurut beliau, setiap pemimpin politik perlu berpegang kepada tataetika sebagai pemimpin di peringkat nasional mahupun negeri, di samping menghormati semangat kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Di peringkat negeri ini, walaupun banyak isu yang perlu kita santuni dan depani, tidak perlulah merendahkan mana-mana individu atau pemimpin yang pernah memimpin sebelum ini atau yang sedang memimpin.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Salam Agrikomoditi di Kuala Pilah.