
BUKIT MERTAJAM, 25 Julai — Perdana Menteri memberi jaminan pandangan golongan muda akan terus dijadikan asas penting dalam usaha menambah baik dasar dan program pembangunan negara.
- Kerajaan MADANI terbuka menerima kritikan dan cadangan untuk memperbaiki dasar serta program pembangunan negara.
- Perdana Menteri menyeru generasi muda jangan terpengaruh fahaman yang melemahkan perpaduan dan merosakkan kemajuan.
- Kerajaan akan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti melalui pandangan rakyat dan peserta program latihan.
- Perluasan peluang pembangunan kemahiran digesa; peserta NTW diminta manfaatkan latihan untuk tingkat kebolehpasaran dan sumbang ekonomi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan MADANI sentiasa terbuka menerima setiap kritikan dan cadangan bagi memastikan dasar yang dilaksanakan lebih berkesan dan menyeluruh.
“Kita dengar setiap kelompok dan kita bantu supaya kita perbaiki. Kalau ada kelemahan kita perbaiki, kalau ada beberapa program baharu kita kemukakan. Inilah cara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian kemuncak National Training Week (NTW) 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, di sini, hari ini.
Datuk Seri Anwar turut menyeru generasi muda agar tidak terpengaruh dengan fahaman yang boleh melemahkan perpaduan dan merencatkan kemajuan negara.
“Work together, work hard, improve ourselves. Make Malaysia a great country, a successful country. Jangan terpalit dengan fahaman yang melemah dan merosakkan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti menerusi pandangan rakyat, termasuk peserta program latihan.
Pada masa sama, katanya, lebih banyak peluang pembangunan kemahiran akan terus diperluaskan agar dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat.
Beliau turut menggesa peserta NTW memanfaatkan sepenuhnya peluang latihan yang disediakan bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.