Delegasi Zimbabwe perkukuh kerjasama strategik penyiaran bersama RTM

Ashwad Ismail (kiri) dan Nick Mangwana/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini menerima kunjungan rasmi enam anggota delegasi daripada Kementerian Penerangan, Publisiti dan Perkhidmatan Penyiaran Zimbabwe bagi memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka kerjasama strategik dalam sektor media dan penyiaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Status MoU Media dan Penyiaran antara Malaysia dan Zimbabwe dibincangkan dan telah mendapat kelulusan Kabinet Zimbabwe.
  • Perhalusan kerjasama meliputi perkongsian kandungan televisyen dan radio, pembangunan program serta pertukaran kepakaran antara kedua pihak.
  • Perbincangan merangkumi tadbir urus media sosial dan penyiaran internet, kelestarian radio komuniti serta strategi memastikan media awam mampan berdepan peralihan ke platform digital.

Delegasi diketuai oleh Setiausaha Penerangan, Publisiti dan Perkhidmatan Penyiaran Zimbabwe, Nick Mangwana, yang turut disertai Duta Besar Zimbabwe ke Malaysia, Constance Chemwayi, bersama pegawai kanan kementerian serta wakil Kedutaan Zimbabwe di Malaysia.

Ketibaan delegasi disambut Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail, yang kemudian mengadakan sesi dialog dua hala bersama Mangwana.


Turut menyertai perbincangan ialah Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) Datuk Mas Rizal Mohd Razali, Pengarah Bahagian Program TV Reza Shariman Othman serta barisan pengurusan RTM.

Lawatan berkenaan menjadi platform bagi kedua-dua pihak membincangkan status Memorandum Persefahaman (MoU) Media dan Penyiaran antara Malaysia dan Zimbabwe yang telah mendapat kelulusan Kabinet Zimbabwe.

Selain itu, turut memperhalusi kerjasama dalam perkongsian kandungan televisyen dan radio, pembangunan program serta pertukaran kepakaran.

Perbincangan juga menyentuh usaha memperkukuh tadbir urus media sosial dan penyiaran berasaskan internet, kelestarian radio komuniti serta strategi memastikan media awam terus mampan dalam menghadapi perubahan landskap penyiaran dan penghijrahan audiens ke platform digital serta perkhidmatan penstriman seperti over-the-top (OTT).

Menurut Mangwana, kedua-dua negara mempunyai banyak pengalaman yang boleh dikongsi selain meningkatkan pemahaman rakyat Zimbabwe terhadap Malaysia.

“Perbincangan yang berlangsung sangat mesra, positif dan membuahkan hasil. Kami berjaya mencapai beberapa perkembangan penting sepanjang sesi perbincangan dan yakin segala bentuk kerjasama yang telah dibincangkan akan direalisasikan serta dilaksanakan pada masa hadapan” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.