
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Tindakan tegas akan diambil terhadap warga asing termasuk etnik Rohingya, yang berkumpul di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sehingga menimbulkan gangguan ketenteraman awam.
- Perdana Menteri arah Imigresen, PDRM dan pihak berkuasa tempatan laksana tindakan penguatkuasaan tegas.
- Tiada permit akan dibawa ke Imigresen; pemegang dokumen diberi amaran; yang ingkar dikenakan tindakan undang-undang.
- Operasi penguatkuasaan mesti dilaksanakan berhemah, mengambil kira kebajikan wanita dan kanak-kanak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, negara mempunyai undang-undang dan peraturan yang perlu dipatuhi.
Mana-mana pihak tidak boleh sewenang-wenangnya memilih atau mengambil alih sesuatu kawasan tanpa kebenaran.
Beliau berkata, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan telah diarah supaya mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas.
“Pelarian Rohingnya berhimpun di (ibu pejabat) UNHCR dan mengganggu lalu lintas. Kita kena tegas. Negara ini ada peraturan, ada hukum. Dia tak boleh memilih untuk ambil mana-mana kawasan bandar.
“Sebab itu saya dah arahkan imigresen, polis dan pihak bandar raya ambil tindakan tegas. (Mana) yang tidak ada permit, perlu dibawa ke imigresen. Manakala mereka yang mempunyai dokumen akan diberikan amaran. Bagi yang ingkar, kita akan ambil tindakan undang-undang, ” katanya kepada media sebelum merasmikan Majlis Penutup Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Kuala Lumpur.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengingatkan pihak berkuasa supaya melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berhemah khususnya dengan mengambil kira kebajikan wanita dan kanak-kanak.
Terdahulu, ratusan pelarian Rohingya dilaporkan berhimpun di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling, hari ini.
Kesemua warga asing terbbit dilaporkan tiba di ibu negara awal pagi tadi dengan menaiki tiga bas selepas diusir keluar oleh penduduk tempatan dari penempatan mereka di Pulau Pinang.