fb fb fb fb fb

DBP perlu berani laksanakan tranformasi digital

KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu melaksanakan transformasi digital yang melibatkan proses inovasi dalam penghasilan produk dan perkhidmatan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying.

Hui Ying berkata, perubahan drastik itu bagi mendepani cabaran pendigitalan era Revolusi Industri 4.0 yang berupaya memberikan peningkatan yang signifikan terhadap hasil, kecekapan, keberkesanan atau kualiti perkhidmatan.

"Selaras dengan perkembangan teknologi masa kini, DBP perlu sentiasa merubah dan menambah baik produk dan perkhidmatan.

"Dalam aspek pengembangan bahasa, DBP perlu mencari kaedah terkini khususnya menerusi kemajuan teknologi seperti penggunaan kecerdasan buatan (artficial intelligence) untuk memenuhi dunia tanpa batas sempadan.

"DBP perlu memahami dan menempuh era Revolusi Industri 4.0 dengan penuh kesedaran, keterbukaan, keterujaan dan yang paling penting kesediaan untuk mentakrifkan sempadan moral dan etika kesan perubahan yang drastik," katanya ketika berucap Majlis Hari Inovasi DBP 2023 yang bertemakan "Aspirasi Madani Memacu Inovasi" di di Dewan Budaya Tun Syed Nasir DBP, hari ini.

Beliau menambah, pada masa kini negara terus berada dalam lingkungan persekitaran ekonomi digital, iaitu hampir keseluruhan aspek kehidupan manusia melibatkan penggunaan teknologi digital yang meliputi semua sektor termasuk sektor kerajaan.

"Situasi ini telah 'mendesak' karyawan DBP untuk bersama-sama menjadi 'pelaku utama' dalam sektro ekonomi digital serta mengubah budaya kerja yang bersifat konvensional kepada budaya kerja digital.

"Oleh itu, janganlah kita takut untuk berubah atau takut kepada perubahan. Kita mungkin kehilangan sesuatu yang baik, akan tetapi pastinya akan memperoleh sesuatu yang lebih baik daripada yang sebelum ini," katanya.

Hari Inovasi DBP bagi meraikan hasil kreativiti dan inovasi karyawan dalam kepelbagaian idea kreatif dan inovatif yang dicurahkan dalam usaha pembinaan dan pengembangan bahasa dan persuratan Melayu.



Media Baharu