KUALA LUMPUR, 23 Oktober - KEADILAN Sabah menyifatkan Kerajaan Madani bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja mengiktiraf Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di atas kertas malah melaksanakan semangatnya dalam tindakan nyata.
KEADILAN Sabah dalam kenyataan berkata kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar terbukti tidak meminggirkan negeri itu, malah berusaha menyelesaikan banyak isu tertunggak dalam MA63 yang telah lama diabaikan.
Perkara itu dinyatakan KEADILAN Sabah yang menyambut baik komitmen Perdana Menteri yang terus merintis penyelesaian tuntas pelaksanaan MA63, khususnya berkaitan pemerkasaan hak kewangan dan pentadbiran Sabah.
"Parti (KEADILAN Sabah) menghargai pendirian Perdana Menteri yang menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung isu pemberian khas 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah serta komitmen untuk menunggu proses perundangan selesai sebelum membuat keputusan lanjut.
"Pendekatan ini jelas menunjukkan Kerajaan MADANI berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan memastikan setiap keputusan dibuat demi manfaat Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya, bukan atas dasar politik semata-mata," jelas kenyataan itu.
Antara pencapaian besar yang kini menjadi kenyataan termasuk Pengurusan tenaga dan Syarikat Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) kini bawah kuasa Sabah, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Air Sabah diberi kuasa meluluskan projek Persekutuan sehingga RM50 juta.
"Langkah-langkah ini bukan sahaja mengembalikan hak yang termaktub dalam MA63, malah memperkukuh autonomi pentadbiran Sabah untuk mengurus keperluan rakyatnya sendiri.
"Salah satu kejayaan nyata bawah Kerajaan MADANI ialah peningkatan besar dalam pemberian khas tahunan kepada Sabah berjumlah RM600 juta pada tahun ini yang dibayar penuh pada 10 September lepas," jelas KEADILAN Sabah yang menyifatkan langkah itu membuktikan kesungguhan Perdana Menteri dalam mengembalikan keadilan fiskal kepada Sabah.
Dalam pada itu, KEADILAN Sabah turut menggesa kerajaan negeri yang bakal dibentuk supaya mengambil tanggungjawab penuh dalam memperincikan kaedah pengiraan serta mekanisme pembayaran 40 peratus hasil berkenaan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
"Kerajaan negeri juga digesa memastikan formula yang dipersetujui nanti benar-benar mencerminkan hak dan realiti ekonomi Sabah, dengan melibatkan pakar perundangan, ekonomi dan fiskal negeri.
"Selain itu, KEADILAN Sabah berpandangan penubuhan jentera pentadbiran yang cekap dan telus sangat penting bagi memastikan hasil 40 peratus itu dimanfaatkan secara optimum untuk kesejahteraan rakyat sekali gus memastikan golongan itu benar-benar menikmati hasil perjuangan tersebut," jelas kenyataan tersebut.