fb fb fb fb fb

Dasar, draf perundangan Cukai Barang Bernilai Tinggi dalam proses akhir

Steven Sim

KUALA LUMPUR, 5 Disember- Kementerian Kewangan dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan dasar dan perundangan bagi Cukai Barang Bernilai Tinggi yang dijangka dilaksanakan bermula tahun depan.

Timbalan Menterinya, Steven Sim berkata, mekanisme pelaksanaan, jenis barang serta kadar cukainya akan diumum sebaik ia dimuktamad dan diluluskan oleh Jemaah Menteri.

"(Sementara itu) berdasarkan trend pindah milik saham untuk beberapa tahun kebelakangan ini, dianggarkan hasil cukai daripada pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal adalah sekitar RM800 juta setahun.

"Manakala, anggaran jumlah kutipan hasil daripada pelaksanaan Cukai Barang Bernilai Tinggi yang sebelum ini dikenali sebagai Cukai Barangan Mewah masih di peringkat simulasi kerana cukai tersebut merupakan salah satu sistem atau langkah percukaian baharu," katanya menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Low Kian Chuan di Dewan Negara.

Steven turut dimaklumkan sebanyak RM115.63 juta berjaya dikutip Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hasil cukai langsung menerusi Program Pengakuan Sukarela (VDP) setakat Oktober lalu.

Dalam pada itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pula mengutip sejumlah RM13.22 juta menerusi hasil cukai tidak langsung bagi tempoh sama.

SITI AISHAH BINTI MD ISA