(Seorang ketua polis daerah di Pahang diperkarangan Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini)
KUANTAN, 7 Jun- Mahkamah Majistret sini menolak permohonan reman terhadap seorang ketua polis daerah di Pahang yang disyaki menerima rasuah lebih RM1 juta bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut di sekitar daerah kawalannya sejak tahun 2017 hingga 2022.
Keputusan itu dibuat Majistret Tengku Eliana Tuan Kamarulzaman, pagi tadi.
Peguam yang mewakili suspek, Datuk Bob Arumugam berkata, permohonan reman ditolak kerana SPRM sepatutnya menggunakan Seksyen 49 Akta SPRM 2009 yang memberi kuasa khusus kepada agensi itu semasa siasatan dilakukan.
Namun, SPRM sebaliknya mengemukakan permohonan reman itu mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).
Terdahulu, suspek tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.00 pagi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suspek, 53, ditahan SPRM pada Selasa untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, sumber SPRM berkata, suspek akan dibebaskan dengan bon jaminan SPRM selepas permohonan reman ke atasnya ditolak.
(Suspek didakwa menerima rasuah lebih RM1 juta bagi lindungi aktiviti hiburan
dan urut sejak 2017 hingga 2022)