Cuti tambahan Aidilfitri dijangka rancakkan ekonomi domestik

Penganalisis ekonomi dari Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ida Md Yasin. 

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Pelaksanaan cuti tambahan sempena Aidilfitri dijangka merancakkan ekonomi domestik negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pergerakan rakyat pulang kampung dan bercuti meningkatkan perbelanjaan persiapan Aidilfitri, manfaat kepada sektor peruncitan.
  • Sektor pelancongan mendapat limpahan hasil apabila warga memilih bercuti atau menginap di hotel sepanjang cuti tambahan.
  • Cuti panjang bantu peniaga merancang bekalan, memenuhi permintaan perayaan; pengumuman cuti tambahan tertakluk pengisytiharan 1 Syawal.

Penganalisis ekonomi dari Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ida Md Yasin berkata ini dapat dilihat apabila rakyat memanfaatkan tempoh tersebut untuk pulang ke kampung atau bercuti, selain meningkatkan perbelanjaan persiapan perayaan.

Dr Ida menjelaskan tempoh cuti tambahan itu juga berpotensi merangsang aktiviti ekonomi berikutan berlaku pergerakan rakyat ke pelbagai destinasi di seluruh negara.

“Sudah tentu akan meningkatkan ekonomi domestik kerana rakyat akan bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Umat Islam pulang ke kampung bertemu keluarga serta menziarah saudara-mara, manakala yang bukan Islam boleh memanfaatkan tempoh ini untuk bercuti.

“Pergerakan ini memberi manfaat kepada sektor peruncitan apabila orang ramai membeli barangan dan pakaian bagi persiapan Aidilfitri. Pada masa sama, sektor pelancongan juga mendapat limpahan apabila ada yang memilih untuk bercuti atau menginap di hotel,” katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau berkata peningkatan pergerakan rakyat sepanjang tempoh tersebut secara langsung memberi kesan positif kepada sektor peruncitan dan pelancongan yang dijangka mencatat peningkatan permintaan.

“Cuti yang lebih panjang membantu merancakkan perbelanjaan penggunaan kerana dalam tempoh sambutan Aidilfitri masyarakat sememangnya akan berbelanja. Keadaan ini memberi peluang kepada peniaga untuk meningkatkan jualan apabila permintaan terhadap barangan keperluan meningkat.

“Jika peniaga, pemborong dan pengilang dapat merancang bekalan dengan baik, ia bukan sahaja melicinkan operasi perniagaan malah memastikan keperluan pengguna mencukupi sepanjang musim perayaan,” jelasnya.

Peningkatan aktiviti perbelanjaan sepanjang musim perayaan itu juga dijangka memberi rangsangan kepada ekonomi domestik serta menyumbang kepada perkembangan positif ekonomi negara.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cuti am tambahan sehari bersempena sambutan Aidilfitri dan penetapan tarikh cuti tambahan itu bagaimanapun tertakluk kepada tarikh pengisytiharan 1 Syawal kelak.