
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Lebih 300 penggiat industri media, kreatif dan kandungan digital global bakal berhimpun pada Festival Kandungan Asia-Pasifik (CON-FEST) 2026 yang dijadual berlangsung dari 7 hingga 9 Julai ini di ibu negara.
- CON-FEST menumpu masa depan kandungan selari kemajuan teknologi digital dan kecerdasan buatan, menilai implikasi terhadap penghasilan dan pengedaran media.
- Landskap media berubah akibat AI, platform digital dan corak penggunaan generasi muda; video dan podcast semakin menjadi tumpuan pertumbuhan.
- Program termasuk penceramah, forum dan bengkel membincangkan hak cipta, animasi, mikrodrama, peranan media ketika bencana serta pembangunan rangkaian profesional.
Edisi ketiga festival itu akan menumpukan perbincangan kepada masa depan industri kandungan yang berkembang pesat selari kemajuan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Ketua Radio Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU), Andrew Davies berkata landskap media kini sedang mengalami perubahan ketara susulan perkembangan AI, platform digital serta perubahan corak penggunaan media dalam kalangan generasi muda.
“Video kini menjadi platform yang semakin berkembang termasuk podcast video dan media sosial, menjadikannya antara bidang pertumbuhan penting di Malaysia dan rantau ini.
Audio juga masih relevan dengan perkembangan podcast yang semakin meningkat, sekali gus menunjukkan masa depan kandungan,” katanya kepada RTM selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Menurut Andrew lagi, pencipta kandungan perlu memahami audiens sasaran dengan jelas serta mengukuhkan elemen penceritaan bagi memastikan kandungan yang dihasilkan terus relevan dan mendapat perhatian.
CON-FEST 2026 yang bertemakan “Next-Gen Content and Culture” akan menampilkan 55 penceramah menerusi pelbagai sesi forum, bengkel interaktif dan perkongsian industri.
Antara pengisian utama program termasuk perbincangan mengenai hak cipta, animasi, mikrodrama, peranan media ketika bencana serta perkembangan saluran televisyen percuma berasaskan sokongan iklan atau FAST Channels.
Penganjuran acara itu juga dilihat sebagai platform penting untuk perkongsian idea, inovasi dan pembinaan jaringan profesional dalam memperkukuh ekosistem media serta kandungan digital di rantau Asia-Pasifik.