
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Carro Technology Sdn. Bhd. akan mula mengendalikan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) bagi urusan Pemeriksaan Tukar Hak Milik Persendirian (M.V.15) bermula 16 Jun ini, melibatkan lapan cawangan di seluruh negara.
- Langkah ini sebahagian usaha memperluas perkhidmatan pemeriksaan kenderaan selain PUSPAKOM.
- Operasi Carro tertakluk kepada syarat dan piawaian ketat JPJ termasuk infrastruktur, integrasi MySIKAP, kelulusan pihak berkuasa, dan pentauliahan pemeriksa.
- Carro perlu sediakan lorong pemeriksaan khas dan kakitangan berasingan menurut standard ISO/IEC 17020:2012.
- Penambahan pusat pemeriksaan dijangka mengurangkan kesesakan dan memperluas akses, manakala MOT menggesa pematuhan standard keselamatan, teknikal dan integriti.
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan memaklumkan langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha memperluas perkhidmatan pemeriksaan kenderaan selain PUSPAKOM.
Menurut MOT, pelaksanaan itu susulan pengumuman kerajaan pada Julai tahun lalu untuk melantik syarikat-syarikat baharu khusus bagi menjalankan pemeriksaan tukar hak milik persendirian.
Lapan pusat pemeriksaan Carro yang akan mula beroperasi terletak di Glenmarie, Wangsa Melawati, Kajang, Klang, Bayan Lepas, Melaka, Muar dan Johor Bahru.
“Operasi PPKM M.V.15 oleh Carro Technology Sdn. Bhd. adalah tertakluk kepada syarat dan piawaian ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), termasuk penyediaan infrastruktur dan peralatan pemeriksaan yang lengkap, integrasi sistem operasi dengan MySIKAP, mendapatkan kelulusan pihak berkuasa berkaitan, serta memastikan Pemeriksa Kenderaan Motor menjalani program pentauliahan yang ditetapkan oleh JPJ sebelum dibenarkan beroperasi,” menurut kenyataan.
Carro juga perlu menyediakan lorong pemeriksaan khas dan kakitangan berasingan bagi urusan pemeriksaan tukar hak milik selaras dengan standard ISO/IEC 17020:2012 – Conformity Assessment Requirements for the Operation of Various Types of Bodies Performing Inspection.
Dalam masa sama, beberapa syarikat lain turut dalam proses membangunkan pusat pemeriksaan masing-masing, termasuk Carsome Academy Sdn. Bhd. di Sungai Buloh, Car Medic Sdn. Bhd. di Kajang dan Serdang serta Beriman Gold Sdn. Bhd. di beberapa lokasi di Sarawak.
“Penambahan pusat pemeriksaan ini dijangka membantu mengurangkan kesesakan sedia ada selain memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang lebih cekap dan berkualiti,” tambah kenyataan itu.
MOT turut menegaskan semua pengendali PPKM perlu mematuhi standard keselamatan, keperluan teknikal dan tahap integriti yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terjamin.