
KUALA TERENGGANU, 16 April- Kenaikan bantuan tunai menerusi BUDI Diesel Individu kepada RM400 sebulan disambut baik oleh golongan peraih nelayan di Terengganu yang menyifatkannya sebagai kelegaan.
- Peraih nelayan lega dengan bantuan tunai, namun ia hanya meringankan kos beberapa hari dan belum cukup untuk kegunaan harian.
- Mereka berharap subsidi bahan api, kuota atau penurunan harga dilaksanakan untuk mengurangkan beban operasi harian.
- Kenaikan bantuan dianggap perkembangan positif, tetapi peraih mahu penambahbaikan berterusan demi kelangsungan perniagaan.
Seorang peraih nelayan, Zulkifli Man berkata bantuan itu membantu meringankan kos, namun keperluan penggunaan harian yang tinggi masih memberi tekanan kepada kos operasi.
“Setuju tetapi RM400 itu hanya mencukupi untuk beberapa hari sahaja. Kalau boleh, kami harap ada subsidi seperti petrol supaya beban kos dapat dikurangkan,” katanya.
Seorang lagi peraih, Fazu’an Eman Mohd Shafarudin berkata bantuan tersebut memberi kelegaan kepada pengguna harian seperti pengusaha lori dalam menghadapi kos operasi yang tinggi.
“Bukan tidak bersyukur –bantuan ini membantu, tetapi bagi yang menggunakan diesel setiap hari, kos masih tinggi dan mungkin perlu ada penambahbaikan seperti kuota atau penurunan harga,” katanya.
Sementara itu, Mustafa Man berkata peningkatan bantuan berkenaan merupakan perkembangan positif berbanding kadar sebelum ini, namun berharap harga bahan api dapat dikurangkan lagi.
“Memang baik, sebelum ini RM300 dan sekarang bertambah (RM400). Kalau boleh, harga minyak itu dapat diturunkan lagi,” katanya.
Pada Selasa, kerajaan mengumumkan kadar bantuan tunai BUDI Diesel Individu kepada rakyat Malaysia yang layak dinaikkan kepada RM400 sebulan berbanding RM300 bagi April, yang akan memanfaatkan sekitar 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung.