
KUALA LUMPUR, 15 April – Langkah mempercepat peningkatan campuran biodiesel negara daripada B10 kepada B15 secara berperingkat, bermula dengan B12, mampu mengurangkan kebergantungan terhadap diesel.
- Mencapai B15 memerlukan kira-kira 800,000 tan biodiesel, bersamaan sekitar 4% daripada keseluruhan pengeluaran minyak sawit mentah negara.
- Kapasiti pengeluaran biodiesel mencukupi; loji tempatan mampu menghasilkan 23 hingga 24 juta tan, namun kadar penggunaan kini hanya sekitar 40%.
- Pelaksanaan peningkatan campuran boleh dilaksana dalam sebulan hingga sebulan setengah tanpa naik taraf infrastruktur besar, dan ujian menunjukkan tiada masalah enjin.
Sekali gus, memanjangkan jangka hayat bekalan bahan api negara di tengah-tengah krisis tenaga yang masih berlarutan akibat konflik di Asia Barat.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, peningkatan daripada B10 kepada B15 mungkin kelihatan kecil, namun ia dapat memberi kesan signifikan, apabila penggunaan biodiesel dijangka bertambah sehingga 50 peratus.
“Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) negara dianggarkan sekitar 18 juta tan hingga 20 juta tan setahun, namun hanya kira-kira 500,000 tan digunakan bagi tujuan biodiesel ketika ini.
“Untuk mencapai tahap campuran B15, keperluan biodiesel dianggarkan bertambah kepada sekitar 800,000 tan iaitu kira-kira empat peratus daripada keseluruhan pengeluaran MSM negara,” katanya dalam program bicarawara terbitan sebuah stesen televisyen swasta tempatan pada Rabu.
Jelasnya lagi, kapasiti pengeluaran biodiesel sedia ada juga mencukupi, dengan loji tempatan mampu menghasilkan sekitar 23 juta hingga 24 juta tan.
Bagaimanapun, kadar penggunaan ketika ini hanya sekitar 40 peratus, menunjukkan kapasiti sedia ada belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Beliau turut memaklumkan, langkah mempercepat peningkatan campuran biodiesel kepada B15 dijangka dapat direalisasi dalam tempoh antara sebulan hingga sebulan setengah, memandangkan pelaksanaannya tidak memerlukan kerja naik taraf infrastruktur berskala besar.
“Ia dijangka dapat dilaksana tanpa memerlukan pembangunan infrastruktur baharu, sebaliknya bergantung kepada kecekapan operasi dalam proses pengadunan,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau memberi jaminan bahawa bekalan sawit mencukupi dan tidak akan menjejaskan sektor makanan, malah langkah itu turut memberi manfaat kepada pekebun kecil tempatan.
Fokus pihaknya kini terarah kepada penilaian kesiapsiagaan fasiliti pengadunan dan pengeluaran biodiesel bagi memastikan pelaksanaan peningkatan campuran itu tidak menjejaskan rantaian bekalan sedia ada.
B10 mengandungi 10 peratus biodiesel dan 90 peratus diesel fosil, B12 pula terdiri daripada 12 peratus biodiesel dan 88 peratus diesel, manakala B15 melibatkan campuran 15 peratus biodiesel dengan 85 peratus diesel fosil.
Mengulas isu kesesuaian penggunaan B12 dan B15 dengan enjin, beliau berkata maklum balas awal industri menunjukkan tiada masalah ketara termasuk bagi kenderaan berat.
Katanya, ujian penggunaan biodiesel tulen (B100) yang dilaksana FGV Holdings Berhad juga menunjukkan tiada kesan terhadap enjin selepas penggunaan jarak jauh.