KUALA LUMPUR, 30 November- Mesyuarat jemaah menteri telah bersetuju dengan cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengenakan hukuman khidmat masyarakat terhadap individu yang disabitkan kesalahan pembuangan sampah kecil melalui pindaan undang-undang.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata hukuman tersebut akan dilaksana menerusi penyediaan draf Rang Undang-Undang (RUU) yang melibatkan pindaan kepada Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
"Hal ini demikian kerana, isu pembuangan sampah kecil merata-rata masih menjadi kebimbangan walaupun Malaysia telah mencapai pelbagai kemajuan dalam usaha menuju status negara maju. Tanggungjawab pembersih diletakkan sepenuhnya kepada pihak kerajaan.
Oleh kerana itu, maka untuk memperketat dan memperkasa tindakan penguatkuasaan suatu hukuman berbentuk khidmat masyarakat akan dikenakan kepada pesalah yang disabit dengan kesalahan membuang sampah kecil khususnya untuk pesalah berulang," kata Nga kepada pemberita pada semalam.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Media KPKT 2024 di ibu negara.
Tambah beliau, RUU itu dijangka akan dibentangkan dalam sesi Dewan Rakyat pada suku pertama tahun depan.