fb fb fb fb fb

Bomba Melaka siap siaga hadapi banjir

(JBPM Melaka menerima sumbangan tiga buah bot daripada YaPEIM dan Majlis Daerah Jasin)

BUKIT KATIL, 1 Mac- Lebih 500 pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka sedia digerakkan ke 124 kawasan berisiko banjir sekitar negeri itu susulan hujan lebat sejak petang semalam.

Pengarahnya, Abu Bakar Katain berkata, pemantauan telah dijalankan di kawasan-kawasan terbabit dan setakat ini masih tiada laporan kejadian banjir dilaporkan.

Beliau berkata, selain kawasan berisiko banjir, pihaknya juga mengenal pasti 130 cerun bukit yang berbahaya dan berpotensi untuk runtuh.

Katanya, daripada 130 cerun terbabit dua kawasan cerun di Tebong dan Ayer Keroh berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan pemantauan.

"Memang di Melaka kita ada menerima amaran dan laporan daripada pihak MetMalaysia bahawa hujan tahap bahaya akan berlaku sehingga esok, jadi saya telah mengarahkan pegawai-pegawai membuat persiapan dari segi logistik dan sumber manusia.

"Kita juga minta pegawai-pegawai di balai untuk membuat rondaan di kawasan-kawasan yang dikenalpasti berisiko banjir,"katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perbarisan tahunan 2023 di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil.

Dalam majlis berkenaan, JBPM Melaka juga telah menerima sumbangan tiga buah bot daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Majlis Daerah Jasin.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sehingga Khamis ini.


(Pengarah JBPM Melaka,  Abu Bakar Katain)

Media Baharu