
PUTRAJAYA, 15 September – Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) hanya berperanan sebagai urus setia kepada Lembaga Pengampunan dan bukannya pihak yang membuat keputusan berkaitan pengampunan.
- Wakil eksekutif seperti menteri atau Menteri Besar merupakan sebahagian daripada Lembaga Pengampunan.
- Azalina berkata beliau bukan menteri yang bertanggungjawab; soalan penangguhan atau tarikh baharu perlu ditanya kepada menteri bertanggungjawab.
- PAS menuntut penjelasan segera mengenai penangguhan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak atas kepentingan awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, walaupun BHEUU berada bawah kementeriannya, fungsi bahagian itu adalah sebagai sekretariat kepada Lembaga Pengampunan.
Selaku sekretariat, BHEUU hanya membantu dari aspek urusan kesetiausahaan bagi memastikan proses berkaitan Lembaga Pengampunan dilaksanakan mengikut peruntukan yang ditetapkan.
“BHEUU memang di bawah saya, tetapi BHEUU adalah urus setia kepada Lembaga Pengampunan.
“Wakil eksekutif seperti menteri atau Menteri Besar juga merupakan sebahagian daripada Lembaga Pengampunan.
“Saya bukan menteri yang bertanggungjawab. Jadi, kalau ada soalan mengenai penangguhan atau tarikh baharu, perlu ditanya kepada menteri yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Kayuhan Fashionista Bulan Kebangsaan “Dua Jiwa, Satu Sambutan”, di sini.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman, Mohd Radhi Abas.
Terdahulu, media melaporkan PAS menuntut penjelasan kerajaan berhubung penangguhan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 pada Jumaat lalu.
Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, perkara itu membabitkan kepentingan awam dan wajar diberikan penjelasan segera.