APBN 2026: Aliff Rakib rangkul Anugerah Khas YB Menteri

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 15 September – Atlet Muay Thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib dipilih sebagai penerima Anugerah Khas YB Menteri Belia dan Sukan bersempena Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemilihan berdasarkan pencapaian antarabangsa, sahsiah, kesukarelawanan dan keupayaan memberi inspirasi kepada golongan muda.
  • Menteri tekankan kriteria sahsiah, kesukarelawanan dan perjalanan kejayaan yang memberi manfaat kepada komuniti serta negara.
  • APBN sejak 1988 sebagai platform sumbangan belia, selaras dengan Malaysia MADANI, MPBM2030 dan Pelan Tindakan Pembangunan Belia 2035.

Pemilihannya dibuat berdasarkan pencapaian di peringkat antarabangsa, selain aspek sahsiah, kesukarelawanan serta keupayaan memberi inspirasi kepada golongan muda.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata penilaian turut mengambil kira perjalanan individu dalam mencapai kejayaan serta sumbangannya kepada komuniti dan negara.

“Pertama, berdasarkan kriteria sahsiah dan jati diri seseorang individu. Kemudian, aspek kesukarelawanan individu berkenaan. Kita melihat bagaimana mereka mampu mempengaruhi dan memberi inspirasi kepada anak-anak muda yang lain.

“Kita turut melihat perjalanan seseorang individu dalam mencapai sesuatu kejayaan, bukan semata-mata untuk kepentingan dirinya sendiri, tetapi juga demi manfaat komuniti dan negara,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berkenaan.

Ahmad Nor Iman Aliff Rakib merupakan rakyat Malaysia pertama merangkul tali pinggang dunia interim ONE Championship dalam kategori Strawweight Muay Thai, selain mengukir pelbagai pencapaian di pentas antarabangsa.

APBN yang diperkenalkan sejak 1988 menjadi platform bagi mengiktiraf sumbangan dan pencapaian belia Malaysia, selain memperkasakan penglibatan golongan muda.

Penganjuran APBN turut selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, Model Pembangunan Belia MADANI 2030 (MPBM2030) dan Pelan Tindakan Pembangunan Belia Malaysia 2035.

Majlis anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu mempertandingkan empat kategori utama iaitu Pertubuhan Belia, Individu Lelaki, Individu Wanita dan Emas Remaja Perdana, selain Anugerah Khas YB Menteri.

Johan kategori Pertubuhan Belia dimenangi Angkatan Belia Islam Malaysia Daerah Bangi dari Selangor, manakala Zairin Adam Abdul Aziz dari Kuala Lumpur muncul juara kategori Individu Lelaki.

Kategori Individu Wanita pula diraih Shameera Nasreen Ahamed Noordeen dari Pulau Pinang, manakala kategori Emas Remaja Perdana dimenangi Esther Ezhilnangai dari Negeri Sembilan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.