Cerita Islam dalam bahasa mesin

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Gunakan AI sebagai alat bantu kreatif; manusia tetap pencipta, penyemak dan penentu nilai.
  • Cerita ringkas visual boleh menyampaikan nilai Islam seperti amanah, kejujuran, sabar tanpa ceramah panjang.
  • Kandungan Islam berasaskan AI mesti disokong sumber sahih dan literasi digital berasaskan agama untuk elak maklumat tidak tepat.

Bayangkan seorang pemuda sedang duduk di depan komputer dan dia sedang menulis beberapa patah perkataan dalam sebuah sistem kecerdasan buatan. Beberapa saat kemudian, muncul satu figura dengan wajah, pakaikan, dan mempunyai latar belakang yang lengkap.

Figura tersebut dapat beraksi, berbicara dan menjadi elemen dalam sebuah kisah penceritaan.

Cuba kita kilas semula, pada dahulunya ketika kita hendak menghasilkan satu animasi, seseorang mungkin memerlukan kemahiran untuk melukis, membentuk karakter, membuat papan muka (storyboard), menghasilkan visual asset, melakukan animasi dan penyuntingan video.

Sekarang, dengan kecanggihan teknologi AI, banyak boleh membantu mempercepatkan sebahagian dari proses penghasilan animasi tersebut.

Namun, persoalan yang lebih menarik tidak hanya mengenai seberapa jauh AI dapat menciptakan gambar dan animasi. Persoalannya ialah, apa yang ingin kita sampaikan melalui semua teknologi tersebut? Di sinilah cerita Islam bertemu dengan bahasa mesin.

Generasi muda hari ini membesar dalam dunia skrin. Media sosial bukan sahaja menjadi ruang hiburan, tetapi turut menjadi tempat mereka mendapatkan maklumat, pendidikan dan kandungan berkaitan agama.

Kajian mengenai dakwah interaktif dalam kalangan belia menunjukkan media sosial mempunyai potensi sebagai medium penyampaian ilmu dan mesej Islam, walaupun pada masa yang sama terdapat cabaran dalam memastikan keberkesanan penyampaian tersebut.

Dalam dunia yang pantas ini, mesej Islam tidak semestinya perlu disampaikan melalui ceramah atau tulisan panjang. Nilai Islam juga boleh diterjemahkan melalui cerita dan visual yang dekat dengan kehidupan seharian.

Bayangkan sebuah animasi 2D berdurasi satu minit. Seorang pelajar menerima mesej WhatsApp mengenai rakannya. Cerita itu belum pasti benar, tetapi jarinya hampir menekan butang forward. Dia berhenti. Dia menyemak sumber. Akhirnya, dia memilih untuk tidak menyebarkannya.

Tiada ceramah panjang tentang tabayyun. Tiada teks memenuhi skrin. Penonton memahami nilai tersebut melalui tindakan karakter. Inilah kekuatan storytelling. Nilai yang abstrak boleh menjadi lebih dekat apabila diterjemahkan melalui situasi yang biasa dialami manusia.

Amanah boleh diceritakan melalui pelajar yang menggunakan AI dalam tugasan. Menjaga lisan boleh digambarkan melalui komen kasar di media sosial. Husnuzon boleh diterjemahkan melalui watak yang belajar untuk tidak cepat membuat andaian terhadap orang lain.

Dalam proses ini, AI boleh membantu menghasilkan idea, skrip, rujukan visual dan karakter. Namun, kemudahan menghasilkan kandungan tidak bermaksud semua yang dihasilkan itu benar.

AI boleh menghasilkan visual yang cantik dan skrip yang meyakinkan, tetapi masih boleh memberikan maklumat yang tidak tepat. Dalam kandungan berkaitan Islam, perkara ini menjadi lebih sensitif kerana petikan al-Quran, hadis dan hukum memerlukan semakan daripada sumber yang sahih.

Kajian berkaitan penggunaan AI dalam kalangan remaja Muslim turut menekankan kepentingan literasi digital berasaskan agama bagi mengelakkan penerimaan maklumat yang tidak tepat.

UNESCO juga menegaskan bahawa generative AI menawarkan peluang dalam kreativiti dan pembelajaran, tetapi turut membawa risiko seperti disinformasi, masalah kebolehpercayaan maklumat, privasi dan hak cipta.

Maka, cabarannya bukan lagi sekadar bagaimana menghasilkan animasi dengan AI, tetapi bagaimana menghasilkan cerita yang menarik tanpa kehilangan nilai dan ketepatan ilmu. Jawapannya bukan menolak teknologi, tetapi meletakkan teknologi pada tempat yang betul.

AI boleh menjadi alat bantu kreatif, manakala manusia kekal sebagai pencipta, penyemak dan penentu nilai kepada sesuatu reka bentuk. Idea boleh dibantu, visual boleh dijana dan proses animasi boleh dipercepatkan semuanya oleh AI.

Namun, jalan cerita, mesej dan kandungan agama perlu melalui pertimbangan manusia itu sendiri.

Setiap cerita Islamik yang dihasilkan dengan bantuan AI perlu bermula dengan nilai yang jelas, disokong oleh sumber yang sahih dan diterjemahkan melalui cerita yang dekat dengan kehidupan penonton.

Teknologi dan platform berubah. Cara manusia bercerita juga akan terus berubah. Tetapi nilai seperti amanah, kejujuran, sabar, adab dan tanggungjawab tetap mempunyai tempatnya sendiri.

Mesin mungkin boleh membantu kita menghasilkan cerita. Tetapi manusia masih menentukan cerita apa yang patut diceritakan. Mungkin itulah masa depan cerita Islam dalam bahasa mesin.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Nur Aisya Insyira Manaf
Pensyarah
Jabatan Multimedia Kreatif
Fakulti Multimedia Kreatif Dan Komputeran
Universiti Islam Selangor (Uis)
email: insyira@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.