
KUALA LUMPUR, 15 September – Kenaikan berterusan harga minyak mentah Brent dijangka memberi manfaat kepada kedudukan fiskal Malaysia menerusi peningkatan hasil berkaitan petroleum.
- Setiap kenaikan Brent AS$1 menjana tambahan hasil kerajaan antara RM300 hingga RM350 juta setahun melalui PITA, royalti dan dividen PETRONAS.
- Gangguan bekalan struktur dan risiko laluan perdagangan mencipta harga Brent lebih tinggi untuk tempoh panjang, memihak huluan dan pertengahan, menekan sektor hiliran.
- MBSB IB kekal positif terhadap O&G; pilihan utama MISC Bhd dan Dialog Group dengan saranan beli dan harga sasaran RM9.22 serta RM2.57.
Bagaimanapun, MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) berpandangan, keadaan itu turut menyumbang kepada tekanan perbelanjaan kerajaan susulan komitmen subsidi bahan api, terutamanya dengan pengekalan harga runcit petrol pada RM1.99 seliter.
Menurut nota penyelidikan bank pelaburan itu, setiap kenaikan berterusan Brent sebanyak AS$1 setong berpotensi menjana tambahan hasil kerajaan kira-kira RM300 juta hingga RM350 juta setahun menerusi cukai pendapatan petroleum (PITA), royalti dan dividen PETRONAS.
Sementara itu, pasaran minyak mentah dilihat telah beralih daripada kejutan sementara kepada keadaan normal baharu yang lebih berpanjangan, didorong oleh gangguan bekalan struktur, risiko laluan perdagangan maritim utama serta kekangan kapasiti penapisan.
“Keadaan berkenaan dijangka mewujudkan paras harga Brent yang lebih tinggi untuk tempoh lebih panjang, sekali gus memberi kesan berbeza mengikut segmen industri minyak dan gas (O&G).
“Sektor huluan dijangka mencatat prestasi lebih kukuh apabila syarikat eksplorasi dan pengeluaran (E&P) di luar Asia Barat mendapat manfaat daripada harga jualan yang lebih tinggi serta peningkatan permintaan operasi,” menurut MBSB IB.
Sektor pertengahan pula dijangka menerima limpahan positif susulan laluan perdagangan maritim yang lebih panjang, termasuk pengelakan Selat Hormuz dan Bab el-Mandeb, selain peningkatan permintaan terhadap kemudahan penyimpanan penimbal.
“Sebaliknya, sektor hiliran dijangka berdepan tekanan margin apabila kos input minyak mentah meningkat, manakala pengilang dan pengeluar petrokimia mempunyai ruang terhad untuk memindahkan peningkatan kos kepada pengguna,” jelas nota penyelidikan itu.
MBSB IB turut mengekalkan pandangan positif terhadap sektor O&G dengan pilihan utama MISC Bhd dan Dialog Group Bhd, masing-masing dengan saranan beli serta harga sasaran RM9.22 dan RM2.57.
Semalam, harga minyak terus melonjak, meningkat lebih tiga peratus kepada AS$108 setong susulan serangan terbaharu pada hujung minggu terhadap infrastruktur tenaga Arab Saudi, yang menyebabkan saluran paip minyak Timur-Barat ditutup sementara.