
KULIM, 11 Oktober – Peruntukan RM490 juta kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menerusi Belanjawan 2027 akan dimanfaatkan untuk menambah anggota serta memperkukuh penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan kawalan keselamatan sempadan negara.
- Memanfaatkan peruntukan untuk menambah anggota bagi menampung kekurangan dan meningkatkan keupayaan operasi di pintu masuk negara.
- Memperkukuh penggunaan teknologi moden termasuk CCTV dan peralatan keselamatan untuk pemantauan, pengesanan dan kawalan sempadan.
- Memperkasa AKPS fasa dua sebagai agensi tunggal, selari dengan perluasan skop tugas bagi meningkatkan keselamatan sempadan negara.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata peningkatan peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkasa peranan AKPS sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab terhadap kawalan dan perlindungan sempadan negara.
Menurutnya, peruntukan berkenaan penting dalam meningkatkan keupayaan operasi AKPS, seiring dengan skop tanggungjawab agensi itu yang semakin berkembang.
“Dengan peruntukan yang diberikan, perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah aspek perjawatan. Memandangkan AKPS beroperasi di pintu masuk negara, keperluan terhadap sumber manusia amat penting.
“Pada masa ini, kita berdepan kekurangan anggota, sedangkan skop dan beban tugas semakin meningkat. Oleh itu, peruntukan ini dapat membantu meningkatkan keupayaan sumber manusia bagi memastikan operasi berjalan dengan lebih berkesan,” katanya.
Selain itu katanya, peruntukan tersebut akan turut dimanfaatkan pemerkasaan AKPS fasa dua sebagai usaha memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk dan sempadan negara.
“Bagi tujuan tersebut, kita memerlukan infrastruktur serta peralatan teknologi terkini, termasuk sistem CCTV dan pelbagai peralatan keselamatan lain, bagi meningkatkan keupayaan pemantauan, pengesanan dan kawalan di pintu masuk negara,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Wacana Nasional Surah Al-Hujurat: Teras Keharmonian dan Keselamatan Negara di sini.